Home Utama Mahkamah boleh gugur pertuduhan Arul Kanda jika jadi saksi pendakwa

Mahkamah boleh gugur pertuduhan Arul Kanda jika jadi saksi pendakwa

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pertuduhan terhadap bekas Ketua Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy yang sedang dihadapi boleh digugurkan seandainya beliau ‘bertukar’ menjadi saksi pendakwaan.

Arul Kanda kini berdepan dengan tuduhan bersuhabat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes perbicaraan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dikatakan mungkin akan dipanggil sebagai saksi di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Peguam Arul Kanda, Datuk N. Sivanathan yang pada awalnya terkejut dengan cadangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika ucapan pembukaan perbicaraan hari ini, berkata, ada kemungkinan tuduhan terhadap anak guamnya boleh digugurkan.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Sivanathan berkata, mengikut peruntukan Seksyen 63 Akta SPRM itu, ada klausa untuk tertuduh yang memberi keterangan iaitu dalam kes itu adalah Arul Kanda yang juga dituduh bersama-sama Najib melakukan pindaan laporan akhir audit 1MDB pada tahun 2016.

“Sebenarnya secara asas, pendakwa sememangnya boleh memanggil tertuduh untuk menjadi saksi pihak pendakwaan apabila sudah cukup bukti maka tertuduh yang menjadi saksi itu akan diberikan perlindungan daripada tindakan terhadapnya.

“Pada masa sama, anak guam saya juga tidak boleh diarahkan untuk memberikan keterangan yang boleh menjejaskan dirinya sendiri.

“Dalam pada itu, jika ini terjadi dan mahkamah benarkan untuk kita serahkan bukti bermakna pertuduhan terhadapnya juga perlu digugurkan.

“Jika beliau berikan bukti, maka sepatutnya ia akan diikuti dengan pertuduhan terhadapnya digugurkan,” tegas Sivanathan hari ini.

Datuk N. Sivananthan

Sementara itu, peguambela Najib pula, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata,  perkara itu sebenarnya bertentangan dengan perlembagaan dan pihaknya akan membuat huraian serta perincian terhadap dakwaan beliau pada masa yang sesuai kelak.

“Sebenarnya pada masa ini, saya tidak boleh cakap apa-apa tentang perkara ini kerana penggunaan Seksyen 63 adalah bercanggah dengan perlembagaan,” ujarnya.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan itu bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. –MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Boleh ke cara bergitu dengan senang gugurkan dakwaan kalau jadi saksi, kata ada salah terus di dakwa,
    Kalau ini caranya dari terdakwa ditukar adi saksi ada muslihat dan sifat yang keji dari pendakwa yang katakan cukup bukti.
    Cuba difikir secara halus boleh dikatakan rasuah secara halus dan terancang.
    Jangan jadikan macam makamah pondok², kurang bukti jangan jadi pendakwa.

Comments are closed.