IPOH – Masa tambahan satu jam yang diberikan kepada Ketua Pembangkang Perak Datuk Saraani Mohamad untuk sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ditarik balik, kata Speaker DUN Datuk Ngeh Koo Ham.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Saarani gagal memanfaatkan masa penggulungan pada sidang-sidang DUN yang lepas.
“Saarani sepatutnya menggunakan peluang itu untuk membangkitkan perkara yang tidak disentuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain ketika sesi membahas.
“Peluang yang diberikan itu digunakan oleh ketua pembangkang untuk membuat tuduhan melulu dan mengancam pihak kerajaan, bukan berbahas,” katanya pada sidang media di luar persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan keadaan itu, pihaknya membuat kesimpulan bahawa hanya satu jam mencukupi ketika sesi perbahasan untuk ketua pembangkang mengemukakan sebarang pandangan dan kritikan.
Ngeh berkata, bagaimanapun, sekiranya tempoh masa berbahas itu tidak mencukupi, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk menambah masa berbahas kepada ketua pembangkang sebanyak 30 minit hingga satu jam lagi.
Pada November tahun lepas, Ngeh mengumumkan bahawa ketua pembangkang diberikan tambahan masa untuk berbahas daripada 40 minit kepada sejam malah diberikan tambahan sejam lagi ketika sesi penggulungan.
Terdahulu, Saarani pada sidang media, berkata beliau kesal dengan keputusan itu yang diisfatkannya sebagai pelik kerana menurutnya peraturan itu diperkenalkan Ngeh dalam usaha menambah baik institusi DUN Perak.
“Kita (pihak pembangkang) menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan itu apabila hak ketua pembangkang yang diberikan sebelum ini dinafikan oleh speaker,” katanya.- BERNAMA