Home Utama Lebih molek jika pertemuan diadakan di Parlimen sahaja

Lebih molek jika pertemuan diadakan di Parlimen sahaja

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menyiasat  pertemuan ‘sulit’ malam tadi sebelum tindakan mengikut garis panduan yang termaktub dalam Perlembagaan parti diambil.

Ahmad Zahid menyampaikan suara akar umbi yang mahu pertemuan sulit antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan segelintir pemimpin BN yang rata-ratanya Ahli Parlimen UMNO disiasat  segera.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berpendapat pertemuan seperti itu adalah lebih molek dan cantik jika diadakan secara terbuka seperti Parlimen seandainya perkara yang dibincangkan itu berkaitan dengan pengundi di kawasan masing-masing seperti yang didakwa.

“Kita sedia maklum tentang berita yang kini sudah tular berhubung pertemuan segelintir Ahli Parlimen kita dengan pemimpin kerajaan malam tadi.

“Pertemuan ini juga sebenarnya telah menimbulkan rasa bimbang serta tidak senang dalam kalangan bukan sahaja rakyat yang menyokong kita, sebaliknya akar umbi parti. Wujud kebimbangan pertemuan ini seolah-olah telah membelakangkan parti.

“Mengikut perlembagaan parti secara dasarnya, setiap tindakan yang diambil oleh ahli-ahli parti perlulah dilakukan secara ‘en bloc’ (secara kolektif dan bersama-sama).

“Saya serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk menyiasat dan ambil sebarang tindakan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Tidak ada sebarang kompromi terhadap mana-mana ahli yang mengadakan pertemuan dengan blok kerajaan secara peribadi atau ‘pintu belakang’, itu adalah pendirian parti,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebentar tadi.

Ahmad Zahid mengulas pertemuan Mohamed Azmin dengan segelintir Ahli Parlimen BN di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Difahamkan, sekumpulan Ahli Parlimen BN itu hadir di kediaman Mohamed Azmin pada jam 7 malam dan meninggalkan kediaman itu mulai jam 11 malam.

Antara Ahli Parlimen yang kelihatan ialah Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Dalam pada itu, ketika ditanya jika beliau tahu mengapakah pertemuan itu diadakan dengan Mohamed Azmin malam, Ahmad Zahid berkata, beliau hanya mengikutinya melalui laporan media sahaja.

“Saya dapat tahu melalui laporan tujuan pertemuan ini adalah untuk wakil rakyat bertemu dengan pemimpin kerajaan bagi mendapatkan peruntukan bagi kawasan masing-masing bagi kegunaan rakyat.

“Tetapi pada masa sama timbul pula persepsi lain dalam kalangan ahli dan penyokong kerana itu saya beritahu tadi, seharusnya untuk membincangkan isu-isu peruntukan kawasan seharusnya lebih molek jika di Parlimen sahaja, tidaklah timbul persepsi negatif seperti ini.

“Pada masa ini, kita sedang melalui satu fasa penting yang mana kepercayaan rakyat secara drastik bertukar kepada BN dan UMNO. Sepatutnya mana-mana wakil rakyat yang menang di atas tiket BN/UMNO perlulah sentiasa beringat tentang kemenangan ini,” tegas beliau. –MalaysiaGazette