Home Politik Pakatan sulit: UMNO perlu pertahan prinsip, bermaruah

Pakatan sulit: UMNO perlu pertahan prinsip, bermaruah

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media ketika hadir untuk mendengar tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media ketika hadir untuk mendengar tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan ahli Parlimen UMNO yang didakwa menyertai Datuk Seri Hishammuddin Hussein mewujudkan pakatan sulit dengan pemimpin kerajaan merupakan satu pengkhianatan kepada akar umbi dan pengundi mereka pada pilihan raya lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan, pemimpin pembangkang perlu berpegang kepada prinsip dan bukannya bersengkokol dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Selaku pembangkang yang bermaruah, meskipun UMNO hanya tinggal satu kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen UMNO mesti menunjukkan prinsip dan maruah dan bukannya membuat sebarang pakatan sulit bersama kepimpinan PH.

“Sebagai seorang ahli muda UMNO, saya melihat ini suatu kebodohan kuno Datuk Seri Hishammuddin dan Ahli Parlimen UMNO yang bersengkongkol dengan pakatan tersebut.

“Rakyat hari ini tidak sebahalol zaman dahulu. Rakyat menilai dan memerhati. Cukuplah maruah kita tercalar dengan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas perjumpaan sulit beberapa ahli Parlimen UMNO di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya, kira-kira sejak jam 9 malam semalam.

Antara pemimpin UMNO yang kelihatan keluar dari kediaman Mohamed Azmin malam semalam ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib.

Turut kelihatan bekas Timbalan Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Md Dun yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pertemuan itu dipercayai diketuai oleh Hishammuddin selaku Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Naib Presiden UMNO.

Menurut MalaysiaGazette semalam, terdapat 22 Ahli Parlimen BN yang dipercayai mengadakan pertemuan dengan Azmin malam semalam.

Dalam pada itu, Jamal turut menyifatkan tindakan segelintir ahli Parlimen UMNO yang turut serta dalam pertemuan sulit itu sebagai kumpulan semburit susulan Mohamed Azmin pernah dikaitkan dengan video seks di luar tabii sebelum ini.

“Rakan-rakan ahli Parlimen UMNO yang berkunjung beramai-ramai ke rumah Azmin Ali pada malam tadi saya gelaran mereka ini kumpulan semburit,” katanya.

Jamal juga mengingatkan pemimpin UMNO agar tidak leka dengan kelebihan mereka sebaliknya mengambil peluang ketika pemimpin PH dalam keadaan berantakan.

“Kami yang muda ini mahu pemimpin yang bijaksana, beramanah dan bermaruah.

“Sebagai pembangkang, kita mempunyai kelebihan dalam keadaan PH porak-peranda.

“Gunakan kelebihan tersebut agar rakyat memilih kita atas sebab prinsip, kebijaksanaan dan amanah kita,” katanya.

Katanya lagi, Ahli Parlimen UMNO turut diingatkan tidak menjatuhkan kepimpinan sedia ada menggunakan kaedah yang bertentangan dengan sistem demokrasi.

“Jangan gunakan apa alasan untuk menghalalkan Persekutuan dengan parti kerajaan dengan menjatuh dan mempertahankan kepimpinan melalui jalan belakang.

“Moga kepimpinan UMNO memahami denyut nadi rakyat serta akar umbi UMNO dan bukan sekadar menyelamatkan tembolok kepimpinan UMNO sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette