KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu membuat satu perubahan besar yang drastik sekiranya tidak mahu bertahan hanya sepenggal sahaja.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara yang perlu dikaji semula adalah kepimpinan, polisi dan kewangan khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan yang sebelum ini menerima bantuan namun berhadapan dengan perubahan sejak Barisan Nasional (BN) tewas pilihan raya umum yang lalu.
Walaupun berhadapan dengan kekangan kewangan hingga mengakibatkan wujud perubahan beberapa bantuan kepada rakyat namun Kementerian Kewangan bertanggungjawab meneliti dasar tersebut.
“Apa yang penting selepas PRK (Tanjung Piai) kita dapat keputusan, kita tahu perlu diambil perhatian yang berat kalau Pakatan Harapan mahu survive lebih sepenggal, perubahan besar yang drastik perlu pada, sama ada yang berkaitan dasar dari segi kesatuan dalam Pakatan Harapan komponen parti, dasar yang lebih pro rakyat yang boleh dilaksanakan.
“Fokus pada pembangunan ekonomi yang mungkin antara agenda penting yang boleh menyentuh kumpulan B40, apakah bantuan dahulu diberikan yang sekarang tidak diberikan.
“Kita tahu ada sebab faktor kewangan dan sebagainya, tapi kalau difikirkan wajar, perkara ini perlu kita fikirkan semula. kKita akan bawa kepada Menteri Kewangan untuk teliti balik bagaimana perkara seperti ini boleh kita laksanakan,” katanya ketika mengulas lanjut mengenai kekalahan Pakatan Harapan di Tanjung Piai baru-baru ini.
Mengaku terkejut dengan kekalahan calon Bersatu semasa PRK kawasan Parlimen itu 16 November lalu, Muhyiddin melihatnya sebagai isyarat rakyat.
“Ya saya terkejut, banyak kumpulan pemikir yang buat kajian tak dapat gambaran itu dalam kajian mereka. Agensi perisik kerajaan juga tidak beri gambaran sebegitu. Ini mungkin kerana rakyat bersikap diam, mereka tak mahu bercakap,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, laporan mengenai analisis jentera dan strategi PH dalam PRK Tanjung Piai pada Majlis Presiden Pakatan Harapan selepas bermesyuarat dengan Bersatu dalam masa terdekat.
Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini daripada Bersatu kalah dengan majoriti undi 15,086 dengan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.- MalaysiaGazette