KUALA LUMPUR – Ketika prosiding perbicaraan pinda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), mahkamah diperdengarkan rakaman audio berdurasi dua jam mengenai perbicangan antara beberapa pegawai kanan kerajaan.
Rakaman itu berkaitan mesyuarat pindaan laporan audit 1MDB yang dikemukakan oleh saksi keempat, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa melalui pasukan pendakwaan.
Saksi juga telah mengenalpasti beberapa individu dalam rakaman termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara, Sadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Selain itu turut dikenalpasti dalam rakaman itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr Mohd Isa Hussain; bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Syukry Mohd Salleh dan bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kansamy.
Menurut keterangan bertulis Ali Hamsa, mesyuarat yang telah dipengerusikan olehnya diadakan pada 24 Februari 2016 atas arahan Najib.
Dakwa Ali Hamsa, mesyuarat itu diadakan untuk menghapuskan empat isu daripada laporan audit berkenaan seperti dikehendaki Najib.
Antaranya, tentang kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga 1MDB yang dikaitkan dengan penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB.
Terdapat rakaman audio yang tidak jelas apabila kedengaran seperti beberapa individu yang dikenalpasti itu bertengkar dan berdebat tentang pindaan laporan tersebut.
Sejurus selepas rakaman itu selesai diperdengarkan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bangkit untuk bertanyakan beberapa perkara kepada Ali Hamsa.
Gopal Sri Ram: Saya hendak tanya kamu beberapa perkara, dalam rakaman yang kita perdengarkan sebentar tadi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh kamu dengan ‘kepentingan negara’ (national interest) ?
Ali Hamsa: Reputasi negara secara keseluruhan, itu maksud saya.
Gopal Sri Ram: Apa yang terjejas seandainya kebenaran itu dilaporkan?
Ali Hamsa: Jika semuanya benar, tidak apalah.
Gopal: Siapakah yang telah arahkan supaya mesyuarat ini diadakan?
Ali Hamsa: Datuk Seri Najib Tun Razak
Gopal Sri Ram: Pindaan diarahkan oleh?
Ali Hamsa: Datuk Seri Najib Tun Razak
Gopal Sri Ram: Baiklah, saya hendak tanya tentang dokumen yang kamu cadang dalam rakaman itu hendak dicarikkan. Apa maksudnya?
Ali Hamsa: Ini kerana pada akhir kesimpulan selepas mesyuarat, tidak boleh ada dua atau tiga versi. Hanya versi yang dipersetujui boleh digunakan.
Terdahulu, dalam rakaman audio yang juga diperdengarkan di hadapan media kedengaran suara Ali Hamsa dan Ambrin Buang bercakap tentang salinan asal audit tersebut.
Ambrin: Sebenarnya saya ragu-ragu, tidak pasti untuk edarkan laporan yang belum dimuktamadkan ini.
Ali Hamsa: Kita perlu bacanya terlebih dahulu, kita hanya (ada) 24 jam sahaja tuan. Kita akan buat perubahan seperti yang telah sepakati. Jadi yang asal ini tidak boleh diguna pakai. Kita perlu carik setiap bahagian itu.
Saya tidak tahu pula berapa yang telah dicetak. Tetapi tidak sepatutnya ada salinan lain kerana orang tidak patut tunjuk dua versi kepada kita.
Gopal Sri Ram kemudian mengakhiri pemeriksaan sebelum membenarkan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melakukan pemeriksaan balas saksi.
Bagaimanapun, pasukan pendakwaan dan pembelaan memohon kebenaran hakim untuk memuktamadkan transkrip rakaman audio tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu.
Hakim, Mohamed Zaini Mazlan kemudian memberikan tempoh bagi penangguhan untuk melakukan demikian sebelum kembali memanggil Ali Hamsa meneruskan keterangan soal balas pihak pembelaan.
Sementara itu, Mohamed Zaini yang enggan membuang masa mengarahkan saksi ke-5, Pengarah Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad untuk memberikan keterangan.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu, bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan. –MalaysiaGazette