KUALA LUMPUR – Pagi tadi tular mesej Whatsapp memetik nama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil kononnya mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Istana Negara untuk mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong.
Isi kandungan mesej itu juga meminta rakan-rakan media berada di hadapan Istana Negara untuk membuat liputan.
Fahmi ketika ditemui di lobi Parlimen menafikan berbuat demikian sambil menegaskan bahawa mesej itu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik.
Beliau memaklumkan akan membuat laporan polis hari ini atas fitnah yang mengaitkan dirinya dengan mesej palsu itu.
“Saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak ada keluarkan sebarang mesej sebegitu rupa. Ini adalah satu taktik yang cukup jelek, kotor.
“Dan saya akan buat laporan polis kerana nama saya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan satu keadaan yang tidak benar, palsu, fitnah dan motifnya adalah motif politik,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau mengesahkan Anwar telah hadir di Parlimen awal pagi ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyarankan pengamal media mendapatkan pengesahan daripadanya terlebih dahulu sekiranya wujud sebaran mesej yang sebegitu berlaku pada masa akan datang.
“Jadi saya kita rakan media untuk sentiasa berhubung terus dengan saya boleh hubungi saya untuk mengesahkan sebarang maklumat terutama sekiranya nama saya digunakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette