KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain bola sepak yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia mula menunjukkan minat mewakili negara pada masa depan.
Terbaharu, pemain kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Kuching, Dion Johan Cools membayangkan hasrat itu di laman sosial Instagram miliknya.
Melalui perkongsian di Instagram Story, Cools berkongsi gambarnya memperagakan jersi pasukan negara serba hitam bersama status ringkas.
“Sejauh manakah anda mahukan ini?” tulisnya.
Cools adalah pemain yang beraksi di posisi bek kanan dan kini beraksi bersama Club Brugge KV di Liga Belgium.
Selain daripada mewakili kelab di pentas Eropah, Cools juga pernah beraksi untuk Belgium di setiap peringkat umur pertandingan antarabangsa.
Namun pada usia 23 tahun ini, dia belum lagi pernah mendapat panggilan daripada Roberto Martinez bersama skuad kebangsaan Belgium.
Sekiranya benar Cools berminat untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya, dia perlu bersaing tempat di posisi bek kanan bersama Matthew Davies dan Syahmi Safari.
Ketika ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe memiliki pemain naturalisasi sepertoi Corbin Ong, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, dan Brendan Gan kerana berdarah campuran Malaysia atau kerana sudah layak dijadikan warganegara. – MalaysiaGazette