GEORGE TOWN – DAP hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan palsu mengaitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew yang disiarkan dalam akaun facebook dan laman-laman sosial yang mengandungi unsur fitnah.
Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah timur laut oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng yang meminta siasatan segera oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap seorang individu yang menyebarkan maklumat palsu yang berunsur fitnah dalam media sosial semalam.
Teh berkata kenyataan yang dimuat naik dalam akaun facebook yang bernama “EUNOS KHAI” mengandungi gambar Chow dengan kenyataan “Sekarang DAP berkuasa di Malaysia, Siapa tak suka DAP keluar dari Malaysia” itu merupakan tuduhan yang tidak berasas dan fitnah terhadap Ketua Menteri dan DAP serta boleh menganggu gugat ketenteraman awam.
Teh yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Komtar berharap pihak polis dan SKMM akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab keatas penyebaran kenyataan palsu ini.
— BERNAMA