LONDON – Seorang jururawat wanita yang berdedikasi membunuh diri selepas mengalami tekanan kerja syif 12 jam di Hospital Prestwich, Manchester.
Inkues dalaman memberitahu syif kerja yang melampau mengekang dirinya daripada memulakan kehidupan peribadinya.
Leona Goddard, 35, mahu memulakan kehidupan berkeluarga namun dia merasakan tidak dapat memiliki kehidupan bersosial yang normal seperti orang lain kerana bebanan waktu kerja yang tidak menentu dan tanggungjawab tambahan.
Mangsa disifatkan rakan sekerjanya sebagai kakitangan luar biasa dalam kerjayanua di unit kesihatan Mental di hospital tersebut.
Dia bekerja untuk tempoh waktu lama dan bertanggapan bahawa dirinya tidak cukup terbaik dalam kerjanya.
Enam bulan selepas dinaikkan pangkat sebagai pengurus jururawat, dia ditemui mati gantung diri di rumahnya di Greater Manchester 3 Oktober lalu.
Leona sempat meninggalkan nota terakhirnya yang memperincikan perasaan negatifnya yang dialami selama ini.
Rakan kolejnya Danielle Ginds berkata Leona bergelut untuk mengimbangi kehidupannya antara tugas jururawat dan kehidupan sosial.
“Leona menyimpan wang untuk membayar deposit rumah baharu yang diidamkan namun dia tidak dapat mencarinya disebabkan syif kerjanya yang tidak menentu,” katanya.
Bekas teman lelakinya Peter Schaffer juga memberitahu koroner tentang impian mendiang untuk membeli rumah dan memiliki anak tetapi corak pekerjaannya membawa kepada kekecewaan teramat sangat.
“Ekoran kenaikan pangkat, dia merancang untuk memperbaiki taraf kehidupan namun segalanya tak berhasil,” tegasnya.-MalaysiaGazette