KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi yang ditubuhkan pada 1997, tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan atau memaklumkan tentang perbelanjaan yayasan itu selama 15 tahun.
Bekas Pengarah yayasan itu, Zulkifli Senteri, 68, berkata sepanjang 15 tahun memegang jawatan itu sejak 1997 sehingga 2012, beliau juga tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat yayasan berkenaan dan tidak mengetahui lokasi sebenar pejabat yayasan itu.
“Tiada sebarang aktiviti dan mesyuarat yang melibatkan saya selain tidak pernah menerima elaun atau bayaran selama dilantik sebagai pengarah.
“Sepanjang menjadi pengarah, saya tidak pernah berbincang dengan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengasas yayasan itu tentang perbelanjaan (yayasan) yang hendak dibuat dan telah dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi pada hari keempat perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit dana yayasan itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Zulkifli yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Binary berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Ahmad Zahid berkenaan sumber dana yang diperolehi untuk menampung kos aktiviti yayasan itu dan tidak tahu yayasan itu mempunyai dana berjumlah jutaan ringgit.
“Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau surat berkaitan pentadbiran dan operasi Yayasan Akalbudi dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau cek milik yayasan itu,” katanya dan turut memaklumkan beliau juga tidak tahu akaun milik yayasan pernah diaudit atau tidak.
Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata beliau tidak pernah terlibat dan tidak dimaklumkan oleh Ahmad Zahid tentang sebarang aktiviti berkaitan yayasan itu.
“Sepanjang tempoh itu juga saya tidak pernah dirujukkan dengan penyata akaun atau penyata kewangan Yayasan Akalbudi,” katanya.
Beliau juga berkata Ahmad Zahid mengarahnya meletak jawatan serta merta sebagai pengarah pada 4 April 2012 dan tidak memaklumkan alasan peletakan jawatan itu.
“Surat ini (peletakan jawatan) bukan saya sediakan tetapi saya sahkan saya tandatangan surat ini di rumah saya di Bandar Baru Bangi, Selangor. Surat ini dibawa oleh pemandu Ahmad Zahid kepada saya dan selepas menandatangani surat saya menyerahkannya semula kepada pemandu itu.
“Saya hanya menerima arahan ini (peletakan jawatan) kerana pada pendapat saya, saya tidak ada sebarang penglibatan dan pengetahuan langsung tentang perjalanan dan aktiviti Yayasan Akalbudi,” katanya.
Disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, adakah saksi pernah menyumbang kepada yayasan tersebut sepanjang penubuhannya, Zulkifli berkata tidak pernah.
Saksi itu juga tidak tahu tentang sumbangan kepada yayasan tersebut adalah 100 peratus daripada Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.- BERNAMA