KUALA LUMPUR – Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu (BM) sebagai mata pelajaran elektif di sekolahnya bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa itu untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.
Perkara itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Kabinet Nepal dan pihak berkuasa relevan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Nepal Giriraj Mani Pokharel semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik baru-baru ini.
Giriraj turut menyambut baik syor Maszlee untuk Malaysia menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.
Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Inovatif Dunia bagi Pendidikan 2019, yang diadakan dari 19 hingga 21 Nov di Doha, Qatar, Maszlee berkata:
“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal berkerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.
“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka.”
Maszlee berkata, kedua-dua mereka turut berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Nepal.
“Menteri Nepal itu kagum dengan Sistem Latihan Berkembar dengan Jerman bagi TVET oleh negara kita dan bagi mereka, ia amat berguna.
“Ini kerana Nepal mahu mengeluarkan pekerja mahir untuk bekerja di luar negara dengan bayaran lebih baik dan mempunyai sijil TVET,” kata Maszlee.
Nepal sedang mencari peluang untuk menghantar pelajar mereka melanjutkan pelajaran peringkat ijazah lanjutan di Malaysia, dan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia.
Giriraj turut mengundang Maszlee untuk melawat Nepal bersempena dengan Tahun Melawat Nepal 2020, dan menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan di Kathmandu tahun depan. – Bernama