Home Dunia Netanyahu berdepan 3 pertuduhan

Netanyahu berdepan 3 pertuduhan

Benjamin Netanyahu. foto Agensi

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu didakwa mengambil rasuah, melakukan penipuan dan melanggar amanah dalam tiga kes berlainan.

Beliau didakwa menerima pelbagai hadiah daripada ahli-ahli perniagaan kaya.

Bagaimanapun, Netanyahu menyifatkan semua dakwaan itu sebagai percubaan merampas kuasa.

Malah, beliau menegaskan sama sekali tidak akan melepaskan jawatannya.

Sebaliknya, dalam ucapan melalui televisyen, Netanyahu pula mahu penyiasat-penyiasat yang melakukan siasatan ke atasnya disiasat.

Peguam Negara, Avichai Mandelblit ketika mengumumkan pendakwaan itu berkata, keputusan itu dibuat dengan berat hati.

Tetapi katanya, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang di Israel.

“Penguatkuasaan undang-undang bukan satu pilihan. Ia juga berkaitan kiri atau kanan. Ia bukan berkaitan politik,” ujarnya.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kemelut politik Israel selepas dua pilihan raya yang diadakan pada bulan April dan September lalu.

Rabu lalu, pesaing Netanyahu untuk jawatan Perdana Menteri Israel, Benny Gantz berkata, beliau tidak dapat membentuk kerajaan gabungan dengan majoriti di Parlimen.

Meskipun Gantz diberi peluang untuk mengambil alih kedudukan Netanyahu tetapi beliau gagal berbuat demikian.

Presiden Reuven Rivlin telah memberi arahan kepada pembuat-pembuat dasar untuk bersetuju dengan calon perdana menteri dalam tempoh 21 hari bagi mengelak satu lagi pilihan raya tahun ini. – MalaysiaGazette