Home Rencana Antara soal hutang negara dan kesejahteraan rakyat

Antara soal hutang negara dan kesejahteraan rakyat

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Oleh Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Hutang negara telah bertambah dari RM 686.8 bilion pada akhir tahun 2017 kepada RM799.1 bilion. Manakala jumlah pinjaman bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2019 adalah sebanyak RM58.1 bilion.

Adalah dijangka pinjaman ini akan meningkat secara kasar kepada RM135.2 bilion bagi tahun 2019. Pinjaman ini adalah untuk membiayai semula hutang prinsipal sebanyak RM 83.3 bilion dan pembiayaan defisit RM 51.8 bilion.

Daripada jumlah pinjaman ini, RM 127.7 bilion adalah pinjaman dalam negara dan RM 7.5 billion adalah datang dari terbitan pinjaman luar pesisir pantai.

Pinjaman pembiayaan defisit adalah untuk mengurangkan defisit fiskal dari 3.4% pada tahun 2019 kepada 3.2% tahun 2020. Melalui pembiayaan hutang prinsipal maka kerajaan mampu mengurangkan had siling hutang dari KDNK tidak melebihi 55% iaitu pada kadar 52.7%.

Nisbah hutang berbanding KDNK pada suku kedua tahun 2019 didapati meningkat daripada 48.7% pada suku pertama tahun 2018.

Pengenalan dasar fiskal dan sokongan kewangan dalam pembangunan ekonomi negara memerlukan kondusif ekonomi yang sihat. Ini menjurus kepada pengurangan hutang negara yang menjadi fokus utama kerajaan hari ini.

Mahu tidak mahu pengurangan hutang kerajaan boleh dilakukan dengan pengenalpastian aset kerajaan yang boleh dijual antaranya tanah milik kerajaan dan menjelaskan hutang-hutang lama.

Walaupun begitu, rizab antarabangsa bank negara tidak banyak berubah dari Disember tahun 2017 berjumlah sebanyak AS$102.4 bilion kepada Disember tahun 2018 berjumlah AS$101.4 bilion dan 15 Oktober berjumlah AS$103.3 bilion

Sentimen tindakan kerajaan ini menyebabkan ganguan pada nilai ringgit. Akhirnya, kerajaan terpaksa akur untuk membuat pelarasan penilaian semula daripada ringgit yang lemah berbanding mata wang serantau pada suku kedua tahun 2019, yang sebahagiannya diimbangi oleh penjualan sekuriti hutang domestik dan pengeluaran deposit oleh bukan pemastautin.

Pelarasan penilaian ringgit ini turut menyebabkan peningkatan harga barangan keperluan makanan terutamanya barangan yang diimport dari Thailand dan India.

Aspek dasar fiskal dalam pembangunan ekonomi negara hari ini tidak banyak menumpukan kepada aspek kebahagian kehidupan dalam negara. Hal ini berlaku kerana kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk kehidupan rakyat bagi menampung pembayaran hutang negara.

Seterusnya situasi ini meningkatkan pesakit-pesakit yang mengalami kemurungan dan stress. Walaupun nampaknya kerajaan berjaya mengurangkan hutang dan mengekalkan paras sihat rizab antarabangsa. Tetapi hakikatnya, peluang peningkatan gaji pekerja dan kebajikan rakyat golongan kelas M40 semakin terpinggir.

Golongan kelas M40 merupakan majoriti pekerja-pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta terpaksa bergelut dengan kehidupan tanpa bantuan subsidi kerajaan dan pada masa sama menghadapi peningkatan harga barangan disebabkan kelemahan nilai ringgit berbanding mata wand serantau.

Ini melahirkan situasi penjimatan perbelanjaan dalam kalangan golongan M40 yang turut menyebabkan pasaran domestik perniagaan terjejas teruk.

Penjimatan perbelanjaan berlaku kerana ruang boleh guna wang untuk perbelanjaan semakin rendah berbanding suku pertama tahun 2018.

Pasaran perniagaan domestik yang terjejas teruk telah menyebabkan komuniti Cina yang merupakan peniaga-peniaga utama konvensional kehilangan hampir sepertiga punca pendapatan berbanding sebelum 9 Mei 2018.

Persaingan perniagaan online dan kempen Buy Muslim First yang mendapat sokongan akhirnya mengalahkan pasaran perniagaan konvensional yang didominasi komuniti Cina. Jadi, tidak hairanlah sokongan undi Cina beralih dari marginal 500 undi di Pilihanraya Kecil Tanjung Piai kepada majoriti melebihi 15,000.

Kenapa kerajaan perlu mengejar untuk menyelesaikan hutang liability dalam tempoh 5 tahun dengan situasi ekonomi yang dijangka akan meleset pada tahun 2020. Kemelesetan ekonomi dan perang dagangan antara China dan Amerika sebenarnya perlu diberi perhatian utama.

Niat kerajaan untuk menyelesaikan hutang adalah baik. Tetapi tidak sehingga membebankan kehidupan rakyat.

Dalam sebuah negara yang menuju kepada Industri Revolusi 5.0 sebenarnya kurang bergantung kepada dasar fiskal. Sebaliknya penambahbaikan kehidupan rakyat dengan bantuan subsidi kepada golongan M40 amat membantu untuk membangunkan ekonomi negara melalui perbelanjaan rakyat bukannya penjimatan perbelanjaan kerajaan. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan