LONDON – Arsenal dan Tottenham Hotspur menerima padah apaba masing-masing didenda dengan jumlah keseluruhan 95,000 pound (RM504,597).
Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris mengenakan hukuman itu selepas kedua-dua kelab gagal mengawal tingkah laku pemain mereka pada aksi jiran tetangga dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kontroversi bermula apabila reaksi pemain tengah Spurs, Eric Dier ketika meraikan jaringannya yang mencetuskan pergaduhan dengan pemain simpanan Arsenal yang berang dengan tindakan itu.
Dalam perlawanan itu, Spurs tewas 2-4 di tangan Arsenal.
“Arsenal dan Tottenham Hotspur masing-masing didenda sebanyak 45,000 pound (RM238,990) dan 50,000 pound (RM265,545) selepas kedua-dua kelab mengakui gagal mengawal tingkah laku pemain mereka,” kata kenyataan FA Inggeris.
Gol penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyan selain Alexandre Lacazette dan Lucas Torreira membantu Arsenal memadam gol jaringan Dier dan Harry Kane bagi memastikan The Gunners memenangi perlawanan berkenaan.
Aksi ‘panas’ di Stadium Emirates itu turut tegang apabila penyokong Spurs melontar kulit pisang selepas Aubameyang menjaringkan gol.
Pihak polis turut mendakwa empat lelaki susulan insiden yang berlaku selepas perlawanan.
Arsenal mengesahkan mereka sudah mengenal pasti imej individu yang membaling botol kepada Alli. – MalaysiaGazette