RENTON, Washington – Boeing mendedahkan pesawat 737 MAX 10, versi yang lebih besar ketika operasi pesawat dari keluarga MAX digantung di seluruh dunia berikutan dua kemalangan sebelum ini.
Boeing mendedahkan pesawat baru tersebut kepada kakitangan di kilangnya di Renton, Washington namun pesawat itu tidak dijadual melakukan penerbangan pertama sehingga tahun depan, lapor CNBC.
Pengawas selia telah mengarahkan syarikat penerbangan menghentikan operasi pesawat B737 MAX8 selepas dua pesawat jenis itu terlibat dalam kemalangan dalam tempoh lima bulan.
Kesemua 346 penumpang yang menaiki dua persawat tersebut, Lion Air pada Oktober 2018 dan Ethiopian Airlines pada Mac tahun ini, terkorban.
Pada 11 November lalu, Boeing berkata, ia menjangka pengawas selia akan membenarkannya memulakan penghantaran pesawat Max kepada pelanggan seawal Disember ini, namun para pegawai berulang kali menyatakan mereka masih tidak mempunyai jangka masa yang telah ditetapkan.
Syarikat itu telah membangunkan perisian untuk pesawat terbabit selepas sistem kawalan penerbangan menunjukkan ia merupakan punca kedua-dua kemalangan tersebut.
Boeing menerima lebih 550 tempahan untuk Max10 yang boleh memuatkan antara 188 hingga 204 penumpang untuk dua konfogurasi kelas berbanding antara 162 hingga 178 penumpang bagi MAX8. – Agensi