Home Sukan Pemain naturalisasi seawal usia 18 tahun

Pemain naturalisasi seawal usia 18 tahun

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Kali Ke-9 bagi sesi 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 NOVEMBER 2019

KELANA JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneruskan program pengambilan pemain naturalisasi kerana terbukti telah memberi impak positif kepada skuad bola sepak kebangsaan ketika ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi bagaimanapun berkata, mekanisme proses pengambilan pemain itu akan memberi fokus kepada tempoh jangka panjang.

Beliau berkata, pemain naturalisasi selepas ini akan memberi tumpuan kepada pemain muda berusia 18 tahun.

“Langkah ini sebagai pembangunan bola sepak pada masa akan datang kerana selepas lima tahun, pemain naturalisasi ini boleh mewakili negara pada usia 23 tahun untuk tempoh panjang.

“Berbanding sekarang, pemain import datang ke sini pada purata usia 27 tahun dan menjadi pemain naturalisasi pada usia 32 tahun.

“Selepas ini mereka hanya beraksi dalam tempoh dua tahun dan digelar sebagai ayam tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco FAM di sini hari ini.

Mesyuarat iu dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Ditanya status Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula sebagai pemain naturalisasi terbaharu, Mohd. Yusoff berkata, nama dua pemain itu telah dihantar kepada FIFA untuk proses pendaftaran.

Jelas beliau, sekiranya diluluskan, bekas pemain import Melaka dan Kuala Lumpur hanya boleh didaftarkan sebagai pemain negara selepas Jun tahun depan.

Liridon dan De Paula dijangka menjadi dua pemain naturalisasi tambahan selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan pertama dengan skuad Harimau Malaya pada tahun lalu. – MalaysiaGazette