IPOH – Parti komponen Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar tidak melihat aspek wang semata-mata untuk mengukuhkan parti masing-masing.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ‘harga dan perjuangan parti’ boleh dijatuhkan jika wang sudah menjadikan ketaasuban dalam dalam anggota parti.
“Saya tidak nafikan kepentingan wang kerana melaluinya kita boleh melancarkan jentera parti dan memperkukuhkan parti.
“Tetapi itu bukan segala-galanya. Kalaulah kekuatan wang itu menjadi punca kekuatan parti, maka UMNO dan rakan-rakannya tidak jatuh dan tumpas di saat mereka mempunyai wang,” katanya dalam ucapan perasmian pada Kovensyen Tahunan Kali ke-4 Amanah negeri Perak 2019 di sini hari ini.
Salahuddin berkata, perkara paling penting sekarang ialah untuk terus bekerja dan memberikan yang terbaik kepada rakyat selain memperkukuhkan parti masing-masing dan PH.
“Kekuatan duit itu merapuhkan nilai jati diri masing-masing. Lahirnya Pakatan Harapan telah meletakkan diri kita untuk beralih kepada rakyat untuk mendokong dan mempertaruhkan sebagai harapan baru politik,” katanya..
Sementara itu, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dalam ucaptamanya meminta agar semua ahli parti kembali berjihad dan tidak mengharapkan bantuan kewangan sahaja.
“Biarlah dana yang mencukupi disediakan dan digunakan secara optimum dalam mengerakkan kerja pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar semua ahli memberikan perkhidmatan terbaik demi kebaikan rakyat sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
“Dalam memikul tanggungjawab kerajaan, kita jangan lupa tanggungjawab pada kelestarian parti kita sendiri. Jangan diabaikan hal ehwal dan program parti yang menjadi teras kepada kekuatan kita.
“Keberadaan kita dalam kerajaan adalah kerana pencapaian yang diperoleh parti kita. Usahlah menjadi kacang lupakan kulit,” katanya yang juga merupakan Bendahari Agung Amanah. – Bernama