Home Politik Baguslah Kit Siang sudah sedar, sinis Hadi

Baguslah Kit Siang sudah sedar, sinis Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu tolak Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang kerana mereka mungkir janji dalam manifesto gabungan itu sebelum ini.

Secara sinis, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah satu perkembangan yang bagus apabila gabungan itu termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang sedar akan kesilapan yang telah dilakukan pada PRU-14 lalu kerana mungkir janji kepada pengundi.

“Baguslah dia (Kit Siang) sedar. Dia buat janji tapi tidak betul. Rakyat perlu tolak pada PRU-14 akan datang.

“Janji sudah tidak betul, dia mengaku,” katanya kepada media selepas hadir dalam program minum petang dan dialog NGO pelbagai kaum dan agama bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Abdul Hadi berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Kit Siang yang mengaku bahawa gabungan itu menjanjikan sesuatu yang mustahil dalam manifesto pilihan rayanya.

Kit Siang ketika bercakap di konvensyen DAP Perak di Ipoh hari ini berkata PH perlu berterus-terang dengan rakyat bahawa terlebih berjanji dalam manifesto.

Abdul Hadi turut ditanya mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berhubung Pas tiada hala tuju yang jelas jika Abdul Hadi Awang tidak lagi memegang jawatan tertinggi parti.

Hadi berkata Pas sudah dipimpin oleh lebih sembilan presiden namun hala tuju dan konsisten dengan perjuangan yang didukung  sama seperti sebelum ini.

“Ada yang cuma nak pecahbelahkan Pas, tapi kita terus kuasa teguh. Yang berpecah itu terus mati satu demi satu.

“Dulu parti Hamim, Islah, Iman, Berjasa, Amanah akan terima nasib yang sama,” katanya lagi.

BACA: Amanah ramal Pas tiada hala tuju selepas Abdul Hadi tiada

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan itu di Konvensyen Amanah Negeri Kelantan Kali Ke-4 2019 berkata Pas kini tidak mempunyai mesej yang jelas kepada ahlinya selepas mengadakan muafakat bersama UMNO dan hanya dianggotai ahli yang benar-benar taat kepada parti itu sahaja.

“Selagi ada Hadi mereka patuh tapi lepas Hadi tak ada (tidak lagi memegang jawatan Presiden Pas) parti itu tidak akan mempunyai hala tuju yang jelas. Mereka (Pas) tidak akan punya ketahanan,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata Pas belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) yang bertindak meletakan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November lalu.

Ujarnya lagi, terpulang kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan untuk memanggil parti itu untuk bertemu dengan Pas.

“Terpulang kepada Berjasa untuk menilai diri sendiri. Sehingga ini belum nada pertemuan untuk selesaikan. Kita sudah nasihat dia supaya tidak bertanding, tapi mereka bertanding juga,” katanya lagi.

Berjasa tidak mendengar nasihat Pas apabila meletakkan presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz untuk bertanding.

Langkah itu membuatkan Pas akan mengkaji semula hubungan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera, susulan parti itu meletakkan calon di kawasan itu.

Badhrulhisham hilang deposit apabila hanya mendapat 850 undi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PH kalah kerana gagal tunai janji Buku Harapan – Kit Siang