Home Nasional Ditegur tidak hadir mesyuarat, Zuraida panggil Fahmi budak mentah

Ditegur tidak hadir mesyuarat, Zuraida panggil Fahmi budak mentah

Zuraida Kamaruddin. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menggesa agar Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin hadir mesyuarat jika ingin tahu mengapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dipecat, Naib Presiden parti itu pantas menempelak Fahmi.

Ahli Parlimen Ampang itu hari ini menganggap apa yang dibangkitkan oleh beliau tidak difahami oleh Fahmi.

“Penjelasan yang diberikan pegawai lantikan ini adalah terlalu mentah dalam mengulas isu politik dan berdasarkan kenyataannya itu, jelas beliau tidak memahami isu yang saya utarakan.

“Isu yang saya utarakan amat jelas dan mudah, pemecatan ini tidak mengikut proses wajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA: Tidak hadir mesyuarat punca Zuraida tak faham isu pecat

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengulas mengenai gesaan Fahmi yang berkata Zuraida pasti akan faham keputusan pemecatan itu sekiranya beliau tidak culas dalam menghadiri mesyuarat yang dibuat parti.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, ketidakhadiran beliau dalam sebarang mesyuarat yang diadakan parti tidak relevan untuk dibincangkan atas isu ini.

“Apa pun status kehadiran saya dalam mesyuarat tidak sama sekali harus menjejaskan prinsip Keadilan yang perlu dilaksana atas anggota parti,” katanya lagi.

Awal hari ini, Zuraida berkata. tindakan parti itu memecat Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Zakaria Ab Hamid, sebagai suatu langkah reformasi yang membawa rebah.

Tegas beliau, jika benar memang ada saranan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota parti yang masih tidak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti juga wajib mengambil tindakan terhadap beberapa anggota parti yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Ia seperti kes pukul, samseng, meminta rasuah semasa pemilihan parti dan beberapa kes lagi yang sememangnya diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA: Pecat ahli PKR: Reformasi yang bawa rebah

Semalam, dua ahli PKR dari Pahang dipecat serta-merta setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, pada tahun lepas.

Selain Zakaria, seorang lagi ahli PKR negeri Pahang, Ismail Dulhadi turut dikenakan tindakan sama.

Pemecatan itu dibuat oleh Lembaga Disiplin PKR selepas mendakwa menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober berkenaan salah laku berkenaan. – MalaysiaGazette

Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah