Home Dunia Kapal kargo bawa muatan biri-biri terbalik

Kapal kargo bawa muatan biri-biri terbalik

Kapal kargo Queen Hind yang membawa kambing biri-biri terbalik di perairan Romania. foto BBC

BUCHAREST – Sebuah kapal kargo yang membawa lebih 14,000 ekor kambing biri-biri terbalik di perairan Romania.

Pasukan penyelamat sedang berusaha menyelamatkan haiwan tersebut.

Kapal Queen Hind terbalik pada pagi Ahad pagi selepas meninggalkan pelabuhan Midia, dekat bandar tenggara Constanţa, di pantai Laut Hitam.

Semua anggota krew yang terdiri daripada 22 rakyat Syria selamat tetapi seorang anak kapal dikejarkan ke hospital kerana mengalami hypothermia.

Dia terjatuh ke dalam laut tetapi segera diselamatkan. Semua mangsa kini berada di pelabuhan.

Sekurang-kurangnya 32 ekor biri-biri yang ditemui berenang berhampiran sebuah kapal yang menggunakan bendera Palau diselamatkan, tetapi dipercayai banyak juga yang lemas.

“Kami telah menyelamatkan sebilangan kecil, haiwan-haiwan itu berenang di laut,” kata Stoica Anamaria, jurucakap perkhidmatan kecemasan di Constanţa.

Usaha menyelamat akan disambung pada pagi Isnin selepas dihentikan lewat malam tadi.

Setakat ini tidak dapat dipastikan punca kapal itu terbalik dan siasatan akan dijalankan selepas operasi selesai.

Kapal berkenaan yang meninggalkan Midia kira-kira 12.00 waktu tempatan menuju ke pelabuhan Jeddah, Arab Saudi.

Ia tiba di pelabuhan Midia pada 23 November dari Tripoli, menurut laporan media Romania.

Pelabuhan itu digunakan untuk membekalkan minyak mentah untuk kemudahan industri dan petrokimia, selain turut digunakan oleh kapal kargo yang membawa muatan ternakan dari Romania – salah satu pengeksport ternakan terbesar di Kesatuan Eropah. – MalaysiaGazette