Home Nasional KBS belum terima surat tuntutan maaf dari Indonesia

KBS belum terima surat tuntutan maaf dari Indonesia

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia masih belum menerima surat tuntutan maaf dari Indonesia ekoran insiden pergaduhan dikatakan berlaku selepas perlawanan bola sepak baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu bagaimanapun berkata pihaknya telah membuat permohonan maaf kepada Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (Kemenpora) ekoran insiden itu.

“Enggan memanjangkan isu ini, saya rasa lebih baik saya minta maaf cuma saya faham mereka mahu permohonan maaf rasmi.

“Tetapi sampai sekarang pejabat saya belum terima notis rasmi, nampak ia diviralkan di sosial media.

“Bila terima saya akan balas secara rasmi untuk pastikan kita dapat selesaikan kes ini bersama,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Kemenpora semalam memuatnaik gambar dua muka surat dokumen di Twitter rasminya yang jelas mengecam kejadian berkenaan dan mahu Malaysia segera menyelesaikannya.

BACA: Dipukul 20 km dari stadium, tak pasti ada kaitan dengan bola sepak – Syed Saddiq

Perkongsian itu kini tular di media sosial dan rata-rata netizen khususnya penyokong Indonesia mahu Kementerian Belia dan Sukan di bawah pentadbiran Syed Saddiq memohon maaf kepada negara itu.

Video berdurasi 48 saat itu menunjukkan mangsa didakwa ‘warga Indonesia’ kononnya dipukul ‘penyokong Malaysia’ selepas perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Muar itu berkata KBS mahu pesalah dalam kes tersebut akan diheret ke muka pengadilan tidak kira mereka dari Indonesia atau Malaysia.

“Komitmen saya, kalau ada salah laku, kami akan pastikan pesalah diheret ke muka pengadilan.

“Tak kira pesalah dari Malaysia atau Indonesia kerana perkara seperti ini tidak diterima pencinta bola sepak tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette

Kes pukul, samun warga Indonesia tiada kaitan dengan perlawanan bola