GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menyangkal dakwaan bahawa Pulau Pinang terus dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) dalam aspek peruntukan pembangunan dalam Belanjawan.
Lim yang juga Menteri Kewangan berkata dakwaan ini membelakangkan fakta dan tidak berasas.
“Sekiranya kita merujuk kepada fakta dan angka dan bukannya kenyataan berunsurkan fitnah dan palsu, peruntukan pembangunan untuk negeri Pulau Pinang sebenarnya telah bertambah dalam Belanjawan bawah PH berbanding dengan BN (Barisan Nasional),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lim menjelaskan peruntukan pembangunan Pulau Pinang hanya RM547 juta dan RM608 juta dalam Belanjawan Kerajaan BN pada tahun 2017 dan 2018, dan telahpun ditingkatkan masing-masing kepada RM857 juta dan RM980 juta dalam Belanjawan Kerajaan PH tahun 2019 dan 2020.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan PH menghadapi cabaran besar untuk memastikan pengagihan peruntukan kepada semua negeri berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak meneruskan diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan cuba membetulkan diskriminasi yang berlaku sebelum ini kepada negeri-negeri ‘pembangkang’ seperti Pulau Pinang, tertakluk kepada kemampuan kedudukan kewangan dan fiskal negara,” kata Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan.
Sebelum ini, pemimpin pembangkang mendakwa Pulau Pinang terus ‘dianaktirikan’ oleh kerajaan Persekutuan walaupun PH berjaya merampas Putrajaya.- BERNAMA