KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kecewa apabila kelulusan program membantu rakyat ditarik balik pihak berkuasa.
Menurutnya, Program Jualan Barangan Keperluan Dapur Bersama Ahli Parlimen itu terpaksa dibatalkan oleh Perbadanan Putrajaya.
“Maaf rakyat Putrajaya kerana niat saya hendak meringankan beban rakyat tetapi tempat penjualan selepas diluluskan ditarik balik, tidak di beri kebenaran untuk mengunakannya, kita telah bayar sewa, telah beli barang barang keperluan asas seperti beras, ayam, telur dan lain-lain tetapi lewat petang ini pegawai saya telah dimaklumkan mereka menarik balik kelulusan yang telah dibuat,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Ku Nan dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, niatnya hendak jual barang keperluan kepada rakyat dengan setengah harga dari harga pasaran dan dua hari telah dipilih iaitu 26 dan 27 November ini sebagai permulaan sebelum diadakan seterusnya tiap tiap bulan.
“Inilah kerajaan yang berkuasa sekarang… saya tidak minta pun bantuan kerajaan cuma minta kebenaran penggunaan padang komuniti sebagai tempat jualan yang pada awalnya diluluskan tapi sekarang ditarik balik.
“Saya rasa sedih kerana sebagai wakil rakyat saya tidak dibenarkan mengunakan tempat yang dibina untuk rakyat dan untuk membantu rakyat. Inilah kerajaan hari ini, kerajaan zalim,” katanya.
Beliau juga turut memuatnaik poster program berkenaan dan surat kelulusan yang ditarik balik oleh Perbadanan Putrajaya dalam laman sosial medianya hari ini.- MalaysiaGazette
Sory ku Nan kami tak mahu tau dari mana sumber nya