Home Dunia Lagi dokumen tahanan Uighur didedahkan

Lagi dokumen tahanan Uighur didedahkan

Kompleks tahanan Uighur di Xinjiang. foto Agensi

SHANGHAI – Satu lagi dokumen-dokumen kerajaan China didedahkan kepada umum oleh kumpulan wartawan antarabangsa mengenai kem latihan tahanan di Xinjiang.

Pendedahan dokumen-dokumen oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) susulan satu laporan New York Times pada 16 November berdasarkan kertas rahsia yang mendedahkan butiran mengenai kawalan China terhadap etnik Uighur dan kaum Muslim lain di rantau ini .

Pakar dan aktivis Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan sekurangnya sejuta Uighur dan anggota kelompok minoriti Muslim lain telah ditahan di kem tahanan di Xinjiang.

ICIJ berkata, ia memperoleh senarai garis panduan 2017 yang berfungsi sebagai manual untuk mengendalikan kem-kem itu.

Ia termasuk arahan bagaimana untuk mencegah mereka daripada melarikan diri, mengekalkan kerahasiaan tentang kewujudan kem, menerima kepercayaan dan “bila membenarkan tahanan dikunjungi saudara-mara dan sehingga ke peringkat penggunaan tandas.

Dokumen lain yang diperolehi termasuk “taklimat perisikan” menunjukkan bagaimana polis telah “berpandukan sistem pengumpulan dan analisa data secara besar-besaran yang menggunakan kecerdasan buatan dalam memilih seluruh kategori penduduk Xinjiang untuk ditahan”.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Geng Shuang memberitahu, urusan Xinjiang adalah perkara dalaman China dan Xinjiang yang stabil dan makmur adalah tindak balas yang terbaik terhadap apa yang dikatakan adalah fitnah.

Akhbar The Guardian, sekutu ICIJ, melaporkan kedutaan China di London sebagai berkata: “dokumen yang dibocorkan itu adalah sesuatu yang direka dan berita palsu”.

Kebocoran itu berlaku di tengah-tengah bantahan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas rekod hak asasi manusia yang lebih luas di Xinjiang.

Amerika Syarikat telah mengetuai lebih daripada 30 negara mengutuk tindakan yang disifatkan sebagai “kempen penindasan yang dahsyat”.

Beijing telah menafikan layanan buruk ke atas Uighur dan lain-lain di Xinjiang, sebaliknya mendakwa ia adalah kem latihan untuk membendung ekstremis Islam dan pemberontakan serta tempat latihan kemahiran baharu. – MalaysiaGazette