KUALA LUMPUR- Petronas merekodkan perolehan lebih rendah disebabkan keadaan pasaran yang mencabar serta tekanan terhadap harga komoditi dan margin yang berterusan.
Syarikat petroleum negara itu mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai kepada RM7.4 bilion pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019.
Ini disebabkan oleh penurunan perolehan di samping rosot nilai bersih aset yang sebahagiannya ditampung oleh kos produk bersih dan pengeluaran tang lebih rendah di samping perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Petronas merekodkan perolehan sebanyak RM55.1 bilion didorong oleh harga purata yang lebih rendah bagi produk-produk utama dan penyusutan jumlah jualan terutamanya minyak mentah.
Namun begitu, ia ditampung sebahagiannya oleh tukaran asing akibat kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika.
EBITDA direkodkan sebanyak RM18.8 bilion sejajar dengan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah manakala perbelanjaan modal bagi suku ketiga adalah sebanyak RM12 bilion yang dibelanjakan terutamanya bagi projek-projek huluan.
PAT bagi sembilan bulan pertama 2019 jatuh 11 peratus kepada RM36.4 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas manakala EBITDA susut tujuh peratus kepada RM73.5 bilion.
Jumlah keseluruhan aset juga jatuh kepada RM621.4 bilion setakat 30 September 2019 berbanding RM636.3 bilion pada 31 Disember 2018.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, memandangkan keadaan pasaran masih terus tidak menentu, prestasi yang dicatatkan syarikat minyak dan gas itu sebaliknya menunjukkan kemampanan dan keupayaannya sebagai sebuah pemain industri tenaga bersepadu yang masih mampu kekal kukuh dan beroperasi dengan baik sepanjang tempoh sukar berkenaan.
“Kami akan mengekalkan fokus di dalam memacu operasi yang berkesan di samping kecemerlangan komersial.
“Walaupun prestasi kami mungkin terkesan akibat persekitaran yang mencabar namun kedudukan kewangan Petronas dijangka terus kekal kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tinjauan masa hadapan industri masih kekal mencabar didorong oleh kelembapan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan isu-isu perdagangan global yang menyebabkan gangguan kepada permintaan.
Faktor-faktor tersebut dijangka turut memberi kesan kepada Petronas.-MalaysiaGazette