KUALA LUMPUR – Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad mengendalikan lebih 1.4 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan awam pada setiap hari.
Jumlah itu termasuk penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas di Pulau Pinang, Kuantan, Kamunting dan Manjung, kata Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain.
“Untuk RapidKL saja, jumlah penumpang sehari adalah lebih 1 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Prasarana Bersama Media 2019 di sini hari ini.
Mohamed Hazlan berkata, walaupun lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, Prasarana masih jauh daripada sasaran 30 peratus modal syer pengangkutan awam menjelang tahun 2030.
Justeru beliau berkata, pihaknya mengharapkan agar media massa akan terus memperhebat sokongan bagi mempromosikan program-program yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Hazlan berharap agar kerjasama yang terjalin antara pihaknya dan media dapat terus dipererat bagi meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.
“Bersama-sama kita mantapkan produktiviti di peringkat masing-masing dan terus berbakti kepada rakyat dengan mempromosi penggunaan pengangkutan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette