KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi keseluruhan 2019 meskipun prestasi ekonomi suku ketiga hanya berkembang 4.4 peratus sahaja.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yakin kelemahan suku ketiga itu akan ditampung oleh pertumbuhan kukuh suku keempat sekali gus membantu Malaysia mencapai KDNK sebanyak 4.7 peratus seperti yang disasarkan kerajaan sebelum ini.
“Ada beberapa faktor yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembap antaranya perang perdagangan (Amerika Syarikat-China).
“Ia memberi impak kepada ekonomi. Kami yakin pertumbuhan suku keempat lebih baik.
“Maka kami mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pelaburan Bertanggung Jawab dan Lestari (SRI) di Suruhanjaya Sekuriti hari ini.
Jelas Guan Eng, pada kebiasaannya suku keempat akan menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik malah suku keempat selalu terkenal sebagai suku yang paling kukuh.
“Ekonomi akan menunjukkan prestasi yang lebih baik maka kami kekalkan sasaran,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai analisis-analisis yang dilakukan oleh pakar-pakar ekonomi yang mengatakan Malaysia perlu tumbuh sekurang-kurangnya 4.9 peratus-lima peratus pada suku keempat bagi memastikan sasaran KDNK 4.7 peratus itu tercapai, Guan Eng berkata, mereka menggunakan asas pengiraan yang berbeza.
Bagaimanapun, kerajaan katanya tetap menghormati analisis-analisis tersebut.
“Kita semua perlu tunggulah keputusan suku keempat nanti,” katanya.
Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.4 peratus pada suku ketiga 2019, susut sedikit berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya (4.4 peratus S32018).
Menurut beliau, prestasi sederhana bagi suku ketiga disumbang oleh kelemahan semua sektor utama.
Sektor perlombongan dan pembinaan mengalami kemuncupan masing-masing pada kadar -4.3 peratus dan -1.5 peratus.
Sektor perkhidmatan pula menyusut kepada 5.9 peratus berbanding 6.1 peratus pada suku sebelumnya manakala pengeluaran menurun kepada 3.6 peratus (4.3 peratus S22019) dan pertanian jatuh kepada 3.7 peratus (4.2 peratus S22021).-MalaysiaGazette