Home Dunia 16 mayat dalam kontena dibawa pulang ke Vietnam

16 mayat dalam kontena dibawa pulang ke Vietnam

39 mayat warga Vietnam ditemui dalam sebuah kontena berhampiran London.

HANOI – Sebanyak 16 mayat pertama daripada 39 warga Vietnam yang ditemui mati di dalam sebuah trak di Britain bulan lepas telah dihantar pulang, lapor media rasmi Vietnam hari ini.

“16 mayat termasuk lima dari wilayah Nghe An telah tiba di negara ini,” kata seorang pegawai kanan wilayah berkenaan di sini.

Beliau bagaimanapun enggan dinamakan.

“Mayat-mayat tersebut tiba di Lapangan Terbang Noi Bai di Hanoi awal pagi ini dan dibawa ke rumah masing-masing di wilayah Nghe An, Ha Tinh dan Quang Binh dengan menaiki ambulan”, lapor akhbar dalam talian VnExpress.

Baki mayat akan dihantar kemudian.

Awal bulan lalu, polis Vietnam berkata, mangsa tragedi tersebut datang dari enam wilayah, Haiphong, Huai Duong, Nghe An, Ha Tinh, Quang Binh dan Hue.

BACA: Polis temui 39 mayat dalam kontena lori

Keluarga mangsa yang kesemuanya berusia di antara 15 hingga 44 diselubungi kekeliruan dan marah kerana tidak tahu bagaimana cara untuk membawa mayat-mayat tersebut pulang.

Pihak keluarga perlu membayar kos penghantaran mayat yang menelan kos sehingga 2,208 pound, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri yang dilihat Reuters.

Kenyataan bertarikh 14 November itu berkata, kerajaan Vietnam akan mendahulukan pembayaran bagaimanapun ahli keluarga perlu membayar kemudian.

Penemuan mayat-mayat dalam sebuah kontena di kawasan perindustrian berhampiran London mendedahkan satu kegiataan perdagangan manusia yang menyaksikan perjalanan sukar yang terpaksa ditempuhi oleh pekerja-pekerja dari negara miskin seperti Asia, Afrika dan Timur Tengah ke Barat.- Agensi