Home Nasional Ahli Parlimen boleh didenda, digantung jika gagal isytihar harta

Ahli Parlimen boleh didenda, digantung jika gagal isytihar harta

Liew Vui Keong.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen yang masih enggan mengisytiharkan harta mereka pada 5 Dis ini boleh dianggap menghina Dewan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Liew yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang berkata di bawah Perintah Parlimen, Ahli Parlimen boleh didenda RM1,000 atau digantung daripada Dewan.

“Sudah cukup notis diberi kepada mereka dan mereka masih enggan memfailkan pengisytiharan harta mereka. Maka pihak Speaker (Dewan Rakyat) dapat mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada National Stakeholders Consultation on the Right to Information Legislation, di sini hari ini.

Dilaporkan tidak seorang pun Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan harta mereka manakala semua ahli Parlimen Pakatan Harapan telah membuat pengisytiharan. Tarikh akhir pertama untuk pengisytiharan harta ialah 1 Okt dan kemudian dilanjutkan pada 5 Disember.

Liew berkata, rakyat berhak mengetahui harta wakil rakyat mereka.

“Sebaik anda mahu menjadi wakil rakyat, maklumat anda diketahui orang ramai. Tidak ada privasi lagi. Mereka yang ingin menjadi YB harus mengorbankan isu itu. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia,” katanya.

Liew berkata, sebahagian daripada Ahli Parlimen mungkin telah lupa, Dewan telah meluluskan usul pengisytiharan harta pada Julai dan usul itu telah dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen.

Pengisytiharan harta itu diumumkan oleh Speaker dengan salinan akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu dalam ucaptama beliau, Liew berkata antara sebab mengapa Ahli Parlimen enggan mengisytiharkan harta mereka disebabkan faktor keselamatan.

“Mereka takut ahli keluarga mereka mungkin berisiko diperas ugut atau diculik,” katanya.

Liew berkata Ahli Parlimen Pakatan Harapan telah membuat pengisytiharan sejak Oktober 2018 dan ia telah dipaparkan di laman web SPRM untuk tontonan awam.

“Setakat ini belum ada satu kes pemerasan atau penculikan membabitkan mana-mana menteri dan Ahli Parlimen atau ahli keluarga mereka,” katanya. – MalaysiaGazette