Home Pendapat Bukan susah cari gambar Jalur Gemilang yang betul

Bukan susah cari gambar Jalur Gemilang yang betul

Gambar hiasan. Gelagat Erica Sofia Abdul Shafik,4 ketika mengayakan busana jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Q-Dees, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 OGOS 2019

WALAUPUN Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) telah memohon maaf dan mengaku bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan bintang bucu lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 baru-baru ini, namun kita kesal masih ada pihak yang tidak sensitif dengan Jalur Gemilang yang merupakan lambang kedaulatan negara kita.

Ironinya timbul persoalan penting di sini siapa yang menyediakan atau mereka bentuk Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima dan apa motif untuk berbuat demikian?

Pasti ada individu yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan Jalur Gemilang dan dipaparkan di skrin digital tersebut.

Agak pelik dan hairan jika individu tersebut tidak tahu atau memberikan alasan tidak sengaja membuat kesilapan tersebut kerana terlalu mudah untuk semua orang mencari gambar Jalur Gemilang di Internet.

Jadi kita harap pihak MABA akan siasat dengan terperinci termasuk mencari individu yang bertanggungjawab untuk mendapatkan jawapan.

Hakikatnya bendera adalah lambang kebangaan dan payung kedaulatan sesebuah negara yang bebas merdeka. Memiliki bendera sendiri membuktikan negara itu mempunyai kuasa dan kedaulatannnya tersendiri.

Justeru bendera wajar dilihat sebaIai satu alat yang cukup signifikan dan penting dalam kita memartabatkan kedaulatan dan kemerdekaan yang dinikmati selama ini.

Justeru Jalur Gemilang tidak boleh dilihat sekadar sehelai kain yang dikibarkan untuk majlis atau program tertentu sahaja.

Apatah lagi ianya diperlekeh sesuka hati termasuk mengubahsuai rekabentuknya seperti dalam insiden ini.

Penulis secara peribadi cukup geram dan marah melihat “wajah baru” Jalur gemilang yang dipaparkan tersebut.

Jalur Gemilang ada peranan dan fungsinya tersendiri. Perkara ini perlu dihayati dan difahami oleh setiap warganega kita agar kita sentiasa menjaga kemuliannya dan juga bersedia untuk mempertahankannya.

Antaranya, Jalur Gemilang adalah lambang patriotisme rakyat kepada negara. Itulah sebabnya setiap kali ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan atau kebangsaan kita digalakkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Malah jangan lupa kita juga diminta berdiri ketika Jalur Gemilang dinaikkan bagi mengiringi lagu “Negaraku”. Jelas di sini bahawa Jalur Gemilang adalah lambang patriotisme yang cukup penting dan simbolik kepada kita semua.

Jalur Gemilang juga merupakan lambang perpaduan rakyat kita. Jangan lupa walau kita berbeza ideologi dan pendapat mahupun berselisih faham tentang sesuatu perkara namun kita tetap bersatu dan bernaung di bawah satu payung yang besar dikenali Jalur Gemilang.

Tidak kira Melayu, Cina, India mahupun kaum lain semuanya akur dan terima Jalur Gemilang sebagai jalur perpaduan rakyat Malaysia.

Penyatuan dan kesepaduan dalam kalangan 14 buah negeri yang membentuk Malaysia juga diterjemahkan melalui Jalur Gemilang di mana 14 jalur dalam Jalur Gemilang menunjukkan kesepakatan seluruh rakyat dalam mempertahankan ibu pertiwi sebagai sebuah bangsa Malaysia. Semangat kenegerian dikorbankan demi Malaysia tercinta.

Jalur Gemilang juga bertindak sebagai lambang kemegahan seluruh rakyat Malaysia.

Misalnya mana mungkin kita lupa detik ketika semua rakyat Malaysia menyaksikan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menggengam erat Jalur Gemilang semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang jelas membuahkan perasaan bangga dan megah menjadi rakyat Malaysia.

Malah ketika setiap kali atlet kita memenangi sesuatu kejuaraan bukankah kita begitu bangga dan bangun berdiri bersama-sama menghormati kibaran Jalur Gemilang.

Malah perlu juga diingat pada zaman dahulu, bendera lebih dikenali sebagai panji-panji. Ketika berlaku pertempuran dan peperangan dan bertentang secara berhadapan anggota ketumbukan hadapan akan sentiasa menjulang dan mengibarkan panji-panji sebagai lambang maruah dan perjuangan.

Ini sekaligus membuktikan betapa penting dan bernilainya bendera sebagai maruah sesebuah negara itu. Dan jika kita menghayati maksud semua warna yang ada dalam Jalur Gemilang kita pasti akan merasai dan menjiwai semangat dan roh yang dibawa oleh Jalur Gemilang.

Misalnya, warna merah melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih pula melambangkan keluhuran dan keikhlasan. Warna biru pula melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

Malah nama ‘Jalur Gemilang’ itu sendiri  melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Justeru kita harap pihak kerajaan akan memandang serius isu seperti di mana undang-undang yang sedia ada perlu diteliti semula dengan mewujudkan akta atau undang-undang baru bagi menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada semua pihak yang tidak sensitif dan menghina Jalur Gemilang.

 

— Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.