Home Politik Kepimpinan Amanah di Melaka selamat, tiada sabotaj – Mohamad Sabu

Kepimpinan Amanah di Melaka selamat, tiada sabotaj – Mohamad Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Melaka di bawah Pakatan Harapan yang dipimpin Parti Amanah Negara (Amanah) bebas dari sebarang masalah atau sabotaj dalaman, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau ditanya mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kelmarin yang menolak usul Ketua Menteri, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli Dewan Negara.

Mohamad berkata, punca penolakan usul kerana gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri PH itu sudah diselesaikan dan diambil tindakan oleh parti komponen PH iaitu PKR.

BACA: Kemelut DUN Melaka belum berakhir

“Tidak ada, kerajaan (negeri) masih selamat. Tidak apa. Masalah itu diselesaikan PKR,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Menurutnya, beliau juga tidak melihat apa yang berlaku sebagai cubaan sabotaj dalaman di kepimpinan Melaka kerana ia satu kebiasaan yang berlaku di mana-mana jua.

“Tidak, tidak..(bukan sabotaj). Itu biasa berlaku dalam mana-mana kerajaan,” tegasnya sebelum meninggalkan Parlimen tengahari tadi. – MalaysiaGazette