Home Nasional Wajibkan kerusi keselamatan tepati ciri pentadbiran Islam, kata Fuziah

Wajibkan kerusi keselamatan tepati ciri pentadbiran Islam, kata Fuziah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh diiringi Naib Canselor PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada pesakit Pusat Hemodialisis MAWIP-PICOMS, Ahmad Faiza@Mohd Sharid Amir pada Pelancaran Program Picomspreneur di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Batu Muda, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang akan diwajibkan tahun depan adalah salah satu ciri pentadbiran Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Menurut beliau, meskipun ramai khususnya dalam kalangan ibu bapa memberikan respon negatif, namun keputusan kerajaan ini sebenarnya ia salah satu prinsip maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa.

“Ramai ibu bapa marah apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan (CRS), mereka kata mahal dan sebagainya.

“Saya kata ini adalah dasar maqasid syariah, pengurusan Islam kerana jaga nyawa juga maqasid syariah,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program PICOMSpreneur.

Beliau berkata demikian menyentuh tentang ciri-ciri pentadbiran Islam yang antara lain membantu golongan asnaf juga dalam membuka peluang untuk mereka menjana ekonomi.

Begitu juga katanya tentang larangan merokok di kawasan berdekatan dengan orang awam yang diutamakan kerajaan melalui konsep pentadbiran Islam khususnya penjagaan nyawa juga.

Pada 30 Oktober yang lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
berkata kerajaan mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian pada tahun 2020.

Namun sebelum dilaksanakan secara mandatori, kementerian itu terlebih dahulu akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang 2019.

Dalam masa yang sama beliau berharap agar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi pelaksanaan dasar blueprint Sosioekonomi Rahmah dapat menubuhkan satu skim dana mikrokredit agar tidak hanya bergantung kepada pembayar cukai sebaliknya daripada zakat infak dan sedekat.

“Kita sedang kaji ialah untuk membentuk satu ‘house of mal’ bukan sahaja Baitulmal tetapi yang menggabungkan dana daripada bukan pembayar cukai, maksudnya yang dari zakat, infak, sedekah dan sebagainya. Daripada situ kita sedang mengkaji untuk menubuhkan skim mikrokredit untuk membantu asnaf preneur (dijadikan usahawan).

Blueprint sosio ekonomi Rahmah itu tidak akan lengkap, tanpa wujudnya skim mikrokredit.

“Jadi MAIWP sedang meneliti bagaimana boleh diwujudkan sebab selama ini ktia hanya berpandukan kepada dana zakat, kalau dana zakat memang tak cukup untuk bantuan semua itu,” katanya lagi.

Blueprint yang merangkuimi sosioekonomi berkonsepkan Rahmatan Lilalamin ini menurutnya akan mula diusahakan pada awal tahun depan. – MalaysiaGazette