Home Politik Pembangkang tolak RUU IPCMC

Pembangkang tolak RUU IPCMC

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Seri Ismail Yaakob bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang akan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibentangkan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa penubuhan IPCMC hanya akan memberi tekanan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang pernah disuarakan oleh pakar perundangan.

“Keadaan ini jelas menunjukkan pihak kerajaan hanya mahu memberi tekanan ketidakadilan terhadap anggota-anggota PDRM dan tidak mengambil berat tentang hak-hak anggota polis serta terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu undang-undang.

“Blok pembangkang berpendapat anggota-anggota PDRM yang beriumlah hampir 150,000 orang yang telah bersusah payah berkorban demi rakyat dan negara Malaysia perlu diberi sokongan dan bukannya melaksanakan undang-undang yang menekan mereka,” kata Ahli Parlimen Bera (BN) ketika sidang media hari ini.

Ismail Sabri menambah, sesi pendengaran umum yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU itu tidak berfungsi seperti yang sepatutnya sebaliknya sekadar lakonan semata-mata.

Ia apabila pada akhirnya cadangan dan bantahan pelbagai pihak terutama daripada wakil-wakiI PDRM terutama dalam hal-hal berkaitan perundangan dan hak-hak anggota itu tidak dimasukkan ke dalam syor atau cadangan jawatankuasa, dakwanya.

Dewan Rakyat pada 7 Oktober yang lalu menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan beberapa perkara termasuk pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.-MalaysiaGazette