KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO memutuskan untuk menubuhkan Kelab Mahasiswa UMNO Universiti di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan kelab itu akan memberikan fokus kepada gerak kerja pemuda untuk mendekati rakyat di pelbagai peringkat terutamanya anak-anak muda berusia 18 tahun yang kini sudah diiktiraf sebagai pengundi.
Justeru itu, Pemuda UMNO berharap penubuhan kelab tersebut tidak mendapat tekanan daripada pengurusan IPT mahupun kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kita harap tidak mendapat tekanan daripada universiti-universiti kerana mereka sudah membuat pengisytiharan bahawa parti-parti politik boleh menubuhkan sayap-ssyap mahasiswa di peringkat universiti.
“Kita akan menggandakan penglibatan mahasiswa-mahasiswa daripada dalam dan juga luar negara. Kelab-kelab UMNO akan hadir bersama pimpinan mahasiswa tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO, hari ini.
Pelancaran akan disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Jelas Asyraf, kesemua kelab ini akan diteraju mahasiswa yang mendesak agar parti itu memasuki universiti tempatan.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO akan mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya kelab itu tidak diluluskan.
“Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah dipinda dan membenarkan parti politik masuk universiti untuk berhubung rapat dengan mahasiswa.
“Kalau mereka (kerajaan) tidak benarkan, mereka melanggar apa yang mereka perjuangkan. Kononnya mereka juara mahasiswa, sepatutnya tidak patut beri tekanan dalam apa juga bentuk.
“Kalau tidak dibenarkan, Pemuda UMNO tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas termasuk berdemonstrasi turun di jalanan, tetapi tidak sampai tidur di jalan,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada November tahun lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) berjaya dipinda.
Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda pada Disember tahun lalu merangkumi pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik. -MalaysiaGazette