Home Nasional Pendekatan lain bangunkan Kampung Baru akan difikirkan bila tiba masanya

Pendekatan lain bangunkan Kampung Baru akan difikirkan bila tiba masanya

Pemandangan Kampung Baru ketika tinjauan bersama Malaysia Gazette berkenaan isu jual tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memikirkan pendekatan lain dalam usaha mendapatkan persetujuan semua pemilik tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur mengenai pembangunan semula kawasan penempatan di tengah ibu kota itu, apabila tiba masanya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

“Kita akan lakukan bila tiba waktunya,” katanya ketika ditanya jika masih ramai penduduk Kampung Baru yang tidak mengemukakan maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula kawasan itu sehingga 30 Nov ini.

Menurut Khalid, sehingga hari ini, 40 peratus daripada 5,359 pemilik tanah berdaftar sudah mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan.

Pada 24 Oktober lalu, Khalid mengumumkan tawaran baru RM1,000 bagi setiap kaki persegi sebagai harga muktamad untuk membeli tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru, berbanding RM850 yang ditawarkan sebelum itu.

Daripada kadar RM1,000 itu, RM850 akan dibayar berdasarkan bentuk pulangan yang dipilih pemilik manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham ke atas Syarikat Tujuan Khas (SPV). – Bernama