Home Utama Pinda 1MDB: Shafee asak Ambrin kompromi integriti, moral

Pinda 1MDB: Shafee asak Ambrin kompromi integriti, moral

Tan Sri Ambrin Buang
Tan Sri Ambrin Buang

KUALA LUMPUR – Saksi ke-6 perbicaraan pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ambrin Buang tetap berpendirian tidak berkompromi dengan prinsip dan integriti walaupun diasak berkali-kali oleh peguam bela hari ini.

Kes pindaan itu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah.

Manakala bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dituduh bersubahat melakukan perbuatan tersebut pula diwakili oleh N Sivananthan, Jasmine Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Ketika pemeriksaan balas selepas mahkamah memainkan kembali rakaman audio yang telah dirakam secara senyap-senyap oleh pegawai Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani pada 2016, Shafee menyoal Ambrin mengapa pindaan dilakukan sekiranya beliau tahu tindakan itu salah.

Shafee: Baiklah, seandainya seseorang meminta anda melakukan sesuatu yang salah, yang boleh menyebabkan anda berkompromi dengan prinsip serta integriti, adakah anda akan lakukan perbuatan itu?

Ambrin: Tentunya tidak sesekali. Itu akan menyebabkan integriti saya terjejas.

Shafee: Jika kamu tidak suka seseorang menyuruh kamu melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, salah dan tidak bermoral.

Tadi kamu sudah katakan kamu tidak akan lakukan bukan begitu? Walaupun arahan datangnya daripada seseorang bergelar Perdana Menteri?

Ambrin: Tentu saya tidak akan lakukan. Yang Arif, boleh saya tambah sedikit dalam perkara ini?

Jika kamu sedang bercakap tentang pindaan yang telah dilakukan oleh saya, saya ingin jelaskan pindaan telah dilakukan oleh saya selaku Ketua Auditor Negara berdasarkan fakta-fakta yang diberikan kepada kami. Seperti saya katakan tadi, fakta adalah fakta.

Tetapi pada masa yang sama, kami juga boleh beri pandangan kami. Dalam mesyuarat pada 24 Februari itu, kamu semua telah mendengar banyak isu yang telah dibangkitkan pandangan kami juga.

Bagi saya, mereka tidak hormat kepada pandangan yang telah dilontarkan oleh Jabatan Audit ini sendiri.

Shafee: Adakah sesiapa telah meminta kamu untuk menukar fakta itu dan ini?

Ambrin: Sebenarnya itu maksud tersirat dalam mesyuarat itu, itu dan ini kena diubah. Mana yang kena tambah, maklumat yang mana perlu digugurkan. Itu tujuan mesyuarat pada masa itu.

Shafee: Jadi adakah anda mempunyai sebarang pilihan daripada tidak melakukan ‘kesalahan jenayah’ seperti ini?

Ambrin: Memang saya tidak ada apa-apa pilihan dalam meminda laporan audit 1MDB pada masa itu. Banyak sungguh alasan mereka antaranya demi kepentingan kelangsungan negara. Yang cakap pula bukan orang biasa-biasa.

Walaupun saya risau dan tidak sedap hati tetapi hati saya ikhlas.

Shafee: Mengapa tidak buat laporan polis pada masa itu?

Ambrin: Benar saya sudah boleh laporan polis tetapi saya tidak lihat ada keperluan untuk saya lakukan demikian.

Shafee: Setujukah kamu bahawa seandainya integriti dan moral moral Ketua Auditor Negara terjejas atau tercalar, anda boleh meletak jawatan sahaja pada masa itu dengan isu ini?

Ambrin: Saya tidak pernah letak jawatan.

Terdahulu, Shafee beberapa kali mengasak Ambrin adakah beliau berkompromi dengan kedudukannya dan jabatan beliau kerana menerima ‘perubahan’ yang diminta untuk dilaksanakan itu.

Shafee: Adakah benar anda dalam kata lain telah ‘menjual profesion’ anda kerana bersetuju dengan pindaan ini? Kerana anda menerima sahaja arahan serta cadangan untuk lakukan pindaan ini.

Ambrin: Tidak sesekali. Saya tidak lakukan demikian.

Pemeriksaan balas berjalan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi. – MalaysiaGazette