KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpendapat wajar untuk pengurusan Parlimen menerima cadangan exconya, Shahrul Nasrun Kamarudin agar menutup penghawa dingin semasa sesi sidang Dewan berlangsung.
Katanya, perkara itu harus dipertimbangkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kerana ia menyebabkan Ahli Parlimen tidak dapat hadir ke sidang Dewan akibat terlalu sejuk.
“Adakah cadangan ini sinis terhadap kenyataan Timbalan Menteri sebelum ini? (Soalan wartawan).
“Tidak (sinis), yang paling penting suara dan hak rakyat. Kalau itulah sebab mereka tidak dapat pergi ke Parlimen sebab sejuk, saya rasa ada wajarnya untuk tutup sekali sekala,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO, hari ini.
Awal hari ini, Shahrul mengemukakan sepucuk surat kepada Mohamad Ariff atas rasa simpati terhadap Ahli Parlimen kerajaan yang kesejukan sehinggakan mereka tidak hadir ke sesi sidang Dewan Rakyat.
“Kami berharap, dengan penutupan penghawa dingin ini selain menggalakkan untuk Ahli Parlimen kerajaan hadir membawa suara rakyat ia juga dapat menjimatkan bil eletrik sekaligus menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Isu kesejukan di Dewan Rakyat dibangkitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin yang menyatakan mereka tidak mampu untuk duduk terlalu lama di dalam Dewan Rakyat kerana terlalu sejuk.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata demikian berikutan isu kekurangan jumlah Ahli Parlimen kerajaan pada Sidang Dewan Rakyat malam Selasa lalu.
Jumlah yang sedikit itu hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. -MalaysiaGazette