Home Sukan Selamat tinggal Perak – Brendan

Selamat tinggal Perak – Brendan

Pemain Malaysia, Brendan Gan meraikan selepas menjaringkan gol pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Selepas dua musim yang gemilang di Perak, pemain tengah Brendan Gan mengumumkan meninggalkan pasukan itu berikutan gagal mencapai kata sepakat berhubung masa depannya bersama Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Dalam coretan penuh emosi di Instagram peribadinya, Brendan Gan berkata dia membuat keputusan itu dengan berat hati dan menghargai setiap detik sepanjang menyarung jersi negeri itu.

“Saya sentiasa memberikan sepenuhnya kepada Perak setiap kali melangkah masuk ke padang, namun dalam bolasepak kadangkala ia tidak mencukupi. Banyak memori indah telah tercipta sepanjang saya di sini dan ianya akan kekal bersama saya selama-lamanya.

“Kepada kesemua rakan sepasukan, anda semua adalah pemain yang hebat dan telah membuat setiap pemain berasa seperti satu keluarga. Terima kasih sahaja tidak memadai mengambil kira terlalu banyak telah kita capai secara bersama di dalam mencipta sejarah buat negeri, anda semua akan kekal menjadi sebahagian keluarga bolasepak saya, saya ucapkan selamat berjaya kepada kamu semua baik di dalam karier bolasepak mahupun apa sahaja,” tulis Brendan.

Tidak ketinggalan, ucapan penghargaan buat penyokong pasukan Perak yang dianggapnya sebagai elemen paling penting dalam pasukan.

“Anda adalah sebab kenapa saya sentiasa bermain dengan penuh semangat dan bermotivasi tinggi dalam setiap perlawanan, keghairahan, sokongan dan kasih sayang yang anda tunjukkan bukan sahaja kepada saya tetapi kepada keseluruhan pasukan merupakan satu inspirasi.

“Saya akan merindui anda semua dan sentiasa mengingati setiap impak positif yang anda hadirkan dalam hidup saya, saya berharap saya telah membalasnya dengan memberikan 100 peratus di atas padang, demi lencana di dada,” ujar pemain kacukan Malaysia-Australia itu lagi.

Pemain berusia 31 tahun itu turut memberikan penghargaan istimewa kepada jurulatih Mehmet Durakovic, kakitangan PAFA serta bekas Timbalan Presiden PAFA, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

“Bolasepak adalah segalanya bagi saya, tetapi ia menjadi perniagaan kepada sesetengah orang. Sudah pasti kita akan mengingati sejarah yang telah tercipta, dan siapa tahu, mungkin satu hari saya akan kembali bersama Perak,” katanya yang baru bergelar bapa.

Brendan Gan yang diperkenalkan ke Liga Malaysia sebagai pemain import oleh Sabah pada 2015, berubah status menjadi pemain tempatan ketika mewakili Kelantan selama tiga tahun pada 2014 hingga 2016.

Pemain kelahiran Australia itu menyertai Perak pada 2018 selepas pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament kali kedua yang menyaksikannya tersisih sepanjang tahun 2017.

Bersama The Bos Gaurus, dia menyerlah sebagai salah seorang tonggak utama skuad Mehmet Durakovic itu yang menamatkan Liga Super 2018 di kedudukan kedua sebelum mengakhiri musim dengan menjulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Pada musim ini pula dia membantu Perak muncul naib juara Piala FA dan aksi konsisten bertenaganya menyaksikan dia dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malah tidak mengambil masa lama untuk memenangi hati penyokong.

Mengenai masa depannya, Brendan berkata dia akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat, tetapi spekulasi bertiup kencang mengaitkannya dengan perpindahan ke Selangor. – MalaysiaGazette