KUALA LUMPUR – Pembeli-belah yang berhasrat menikmati keriangan sambutan Yuletide atau Krismas ala Jerman boleh segera menuju ke Pasar Krismas Jerman Sunway Pyramid sepanjang sambutan perayaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan berkata pada tahun ini Sunway Pyramid menggunakan tema Pasar Krismas Jerman untuk berkongsi dengan pembeli-belah pengalaman budaya lain.
“Ia menggambarkan perbezaan kebudayaan Eropah dan cara mereka menyambut Krismas, pusat membeli-belah adalah tempat umum di mana mereka bertumpu dan datang untuk berhubungan.
Kami membangunkan komuniti, kami mahu berkongsi konsep pasar ini yang mana orang berkumpul untuk mengalami cara orang Jerman menyambut Krismas. Ia lebih kepada pertukaran untuk mencipta satu budaya yang lebih baik,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Pasar Krismas Jerman di Sunway Pyramid Mall, di sini hari ini.
Sementara itu CEO Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) , Daniel Bernbeck berkata kerjasama pertamanya ini membawa lebih kegembiraan yang mana MGCC berperanan selaku penasihat kepada acara ini.
“Konsep pasar ini lebih lestari daripada menerbangkan anda semua ke Jerman, jadi datang ke Sunway dan anda ada suasana perayaan Jerman di Malaysia,” katanya.
Sesuai dengan tema Jerman, Pasar Krismas Sunway Pyramid menyediakan tarikan utama Piramid Krismas Tradisional setinggi 10.97 meter yang berputar dengan figura Jerman yang diukir pada setiap tingkat.
Bermula dari 22 Nov sehingga 29 Dis, pembeli-belah di Sunway Pyramid akan dilayan dengan pelbagai aktiviti dan ganjaran membeli-belah termasuk barangan dan makanan Jerman yang lazat dengan lebih banyak bengkel yang mengujakan untuk seluruh keluarga.
Dari 29 Nov hingga 1 Dis, pembeli-belah boleh melengkapkan satu e-passport khas Krismas dengan lima aktiviti berbeza terdiri daripada Baling Gelung Santa, Jatuhan Bebola Salji, Gerai Krismas Allianz, Gerai Foto Pasar dan Piramid Krismas.
Pada hujung minggu Santa Klaus akan menceriakan suasana dan pengunjung dari pukul 1 tengah hari sehingga 3 petang. Pembeli-belah juga boleh merasai salji di dataran perayaan dari pukul 1 tengah hari, 3 petang, 5 petang dan 7 malam dan acara istimewa ini berlangsung pada setiap Sabtu dan Ahad dari 22 Nov hingga 25 Dis.
Pada musim perayaan ini, setiap Sunway Mall mewujudkan pasar Eropah yang berbeza seperti Krismas di Jerman (Sunway Pyramid), Finland (Sunway Velocity Mall), Austria (Sunway Putra Mall), Perancis (Sunway Carnival Mall) dan Poland (Sunway Giza Mall, Sunway Citrine Hub dan Sunway Big Box Retail Park).- BERNAMA