SUNGAI PETANI – Tiada sebab untuk kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur, jika semua pemilik tanah memahami dan bersetuju dengan rancangan pembangunan kawasan itu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata kerajaan akan berusaha sedaya upaya memujuk semua pemilik tanah untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan yang menurutnya adalah amat baik.
“Tiada sebab orang (pemilik tanah) nak bantah, harga yang ditawarkan baik, tujuan pembangunannya baik dan dapat selesai banyak masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ujana Perbandaran Sungai Petani di sini, hari ini.
“Sekarang ini satu lot tanah ada sampai 50 nama, ada yang sampai 150 nama yang paling ramai, kalau benda ini tidak ditangani sampai bila-bila tidak selesai, nama pemilik lot itu juga akan bertambah sehingga akhirnya mustahil untuk menjual dan bangunkannya kerana terlalu ramai penama,” tambahnya.
Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi mengambil tanah kampung itu.
Sementara itu, Khalid berkata hari ini merupakan hari terakhir pemilik tanah Kampung Baru untuk mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, setakat ini lebih 2,000 atau hampir 50 peratus pemilik tanah telah berbuat demikian.
“Tarikh 30 Nov adalah ‘dateline’ untuk terima respons, selepas habis dateline kita akan wujudkan pasukan pergi bertemu dengan pemilik lot secara kumpulan kecil untuk bincang dan menjelaskan tujuan pembangunan yang ingin kita lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid berkata kerajaan menerusi Jabatan Landskap Negara bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah taman awam berskala besar bagi setiap negari menerusi pelan tindakan yang digariskan jabatan itu.
“Taman awam berskala besar atau taman persekutuan ini akan berkeluasan 250 ekar, ini semua untuk memerangi global warming dan climate change dan selain taman berskala besar, kita ada juga taman awam yang lebih daripada 20 ekar yang juga di bawah Jabatan Landskap Negara,” katanya.
Ujana Perbandaran Sungai Petani yang berkeluasan 11.8 hektar merupakan salah satu taman yang dibangunkan Jabatan Landskap Negara, agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dengan peruntukkan lebih RM11 juta bagi menyediakan kemudahan rekreasi kepada penduduk di sini.
— BERNAMA
Yg di sbkkan tnh kg baru aje… Kan bagus klu padang2 golf tu di usik utk pembangunan atau buat rmh,baru la nama glamerrr… Siap msk buku sejarah lg ..