JOHOR BAHRU – Pelayan pelanggan (GRO) warga asing merupakan antara yang ditahan dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan popular di Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 13 wanita warga Thailand dan Vietnam berusia antara 20 hingga 25 tahun, ditahan dalam operasi berkenaan pukul 11.35 malam.
Katanya, seramai 35 orang pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi di pusat hiburan terbabit yang sebelum ini telah pun digempur pada tahun lepas dan serbuan dilakukan hasil aduan yang diterima dan risikan yang telah dijalankan.
Menurutnya, turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus pusat hiburan berkenaan, berusia dalam lingkungan 30an dan empat lelaki warga Bangladesh berumur di antara 28 hingga 45 tahun yang merupakan tukang cuci.
“Kesalahan yang dilakukan adalah menyalahgunakan pas lawatan sosial yang dikeluarkan oleh imigresen kepada pelancong. Selain itu ada juga warga Vietnam dan Bangladesh yang tidak mempunyai sebarang dokumen.
“Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menyalahgunakan pas lawatan sosial ini adalah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) iaitu mereka yang sepatutnya bekerja di sektor perkilangan tetapi bekerja di pusat hiburan,” katanya dalam sidang media, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen di Pekan Nanas dan warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala, bagi kesalahan majikan pula adalah di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1)(d) akta yang sama.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 20 lelaki warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia turut ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan di rumah pangsa di sekitar Pasir Gudang pada pukul 1.20 pagi tadi.
Katanya, tindakan diambil susulan daripada aduan yang telah diterima dan risikan yang dijalankan di rumah-rumah pangsa tersebut.
“Disyaki warga negara asing terbabit telah tinggal tanpa pas atau permit yang sah,” katanya. – Bernama