KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa terkejut, kecewa dan tidak percaya dengan tindakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang sanggup menerima bantuan khas untuk pekebun kecil bernilai RM600.
Malah apa yang lebih mengejutkan umum apabila Wilfred tetap bertegas beliau layak menerima bantuan musim monsun yang dikhaskan kepada pekebun kecil getah.
Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn, pihaknya terkejut dengan tindakan Wilfred tanpa yang tampil mengatakan beliau layak menerima bantuan tersebut.
“Sebenarnya, Wilfred Madius Tangau, anda sebenarnya bukan sahaja seorang Ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat yang meletakan harapan tinggi terhadap kamu, sebaliknya juga menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri bukan?
“Jadi janganlah begitu sibuk fikir apakah pula jenis bantuan yang boleh kamu terima daripada kerajaan.
“Saya amat malu apabila dengar beliau masih lagi pertahankan apa yang diterima walhal kebun luas yang dimiliki olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam sebuah portal berita melaporkan, Wilfred yang juga Ahli Parlimen Tuaran mendedahkan tiada peraturan menetapkan seorang menteri tidak berhak menerima bantuan itu.
Warganet ketika mengulas mengenai berita yang tular itu berkata, Wilfred tidak boleh mendapat bantuan kerana dia seorang yang berada dan tokoh masyarakat.
Mana-mana kebun kecil, dengan tanah seluas kurang daripada enam hektar yang berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (SRIB) boleh menerima bantuan itu.
Difahamkan bantuan RM600 itu sudah didepositkan ke dalam akaun bank isteri Wilfred untuk tiga bulan iaitu daripada November tahun lepas hingga Januari tahun ini.
Bastien menegaskan, Wilfred lebih daripada sedar ramai pekebun kecil belum menerima bantuan yang sepatutnya mereka peroleh.
“Untuk pengetahuan beliau ada 600,000 pekebun kecil seperti beliau di luar sana dan rata-ratanya belum menerima bantuan seperti baja serta bantuan musim hujan.
“Jadi mengapakah seorang yang bergelar Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua Menteri tidak mengutamakan rakyat terdahulu. Ini seolah-olah merampas bantuan musim tengkujuh pekebun kecil.
“Seperti slogan kerajaan PH, anda sepatutnya mengutamakan rakyat terlebih dahulu apatah lagi anda adalah wakil rakyat yang juga mempunyai jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette
Timbalan ketua menteri kata beliau berhak terima bantuan monsun RM600