Home Nasional Anak ikan paus spesies Humpback ditemukan di Teluk Senangin

Anak ikan paus spesies Humpback ditemukan di Teluk Senangin

LUMUT – Seekor anak ikan paus dipercayai spesies Humpback ditemukan di perairan Batu Malang, Teluk Senangin, dekat sini, Sabtu lepas dipercayai tersesat.

Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mamalia itu kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian.

Katanya, maklumat diperoleh daripada Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe yang menerima panggilan daripada nelayan mengenai kehadiran ikan paus itu di perairan tersebut.

“Melalui video yang tular itu, ikan itu mirip spesies ‘humpback whale’ atau nama saintifiknya ‘megaptera novaeangliae’ dan kita anggarkan usianya di bawah satu tahun dengan anggaran panjang lima ke lapan meter.

“Ikan spesies ini sebenarnya duduk di perairan Hawaii atau New Zealand, selalunya di Lautan Pasifik dan kita percaya ikan ini terpisah daripada ibunya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat CPS Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini.

Mohd Tamimi berkata, spesies ikan paus tersebut merupakan yang pertama ditemui di perairan Semenanjung Malaysia dan ia dipercayai tersesat berikutan faktor pasang surut air selain faktor makanan.

“Ikan paus selalunya hidup secara berkumpulan, sering berhijrah ke satu tempat yang lain untuk makanan. Ia boleh menyesuaikan diri sebab laut kita adalah laut tropika cuma apabila perubahan iklim, ia menjadi faktor ikan paus sakit atau mati,” katanya.

Mohd Tamimi berkata, pihaknya tidak akan menangkap ikan tersebut sebaliknya melakukan pemantauan berkala bagi memastikan ia tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Setakat ini, kita terima maklumat ikan tersebut masih berlegar-legar di kawasan perairan dari Pulau Pangkor ke Teluk Senangin dan kita juga akan menjalankan kerja-kerja untuk memberi maklumat kepada nelayan supaya tidak mendekati atau cuba menangkap ikan tersebut,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan ikan itu terperangkap memandangkan kawasan ia berlegar merupakan kawasan menangkap ikan. – Bernama