KUALA LUMPUR – Penganjuran Temasya Kuala Lumpur 2017 (Temasya KL 2017) secara keseluruhannya telah dilaksanakan dengan cemerlang namun terdapat beberapa kelemahan berkaitan perancangan dan pengurusan perolehan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, 2018.
Penemuan audit yang dijalankan mendapati pelaksanaan kurang cekap itu adalah daripada aspek pematuhan peraturan kewangan melibatkan beberapa perolehan, penyediaan dan kelewatan menandatangani kontrak, kawalan hasil jualan tiket serta perbelanjaan yang tidak mematuhi peraturan kewangan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, penganjuran temasya sukan itu memberi impak yang positif kepada ekonomi negara di samping menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan negara, cukai tak langsung, peluang pekerjaan dan sumbangan kepada industri perhotelan serta mencapai ‘standard’ yang ditetapkan kepada semua atlet terlibat.
“Prestasi menunjukkan Malaysia berjaya menganjurkan Temasya KL 2017 melibatkan penyertaan kesemua 11 negara anggota ASEAN dan menjadi juara keseluruhan temasya itu dengan pungutan 145 pingat emas melebihi 111 sasaran yang ditetapkan,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, kerajaan memperuntukkan RM550 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara bagi penganjuran Temasya KL 2017 di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merangkumi Sukan SEA ke-29 yang berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 manakala Sukan Para ASEAN ke-9 dari 17 hingga 23 Sept tahun yang sama.
Menurut laporan itu lagi, secara keseluruhannya pengurusan penganjuran Temasya KL 2017 belum mencapai tahap kecekapan yang optimum kerana perancangan perolehan tidak dibuat dengan lebih awal sebaik sahaja peruntukan temasya diterima.
Selain itu, terdapat kelemahan dalam pengurusan perolehan kerana beberapa perolehan dibuat tanpa mematuhi peraturan kewangan yang dikeluarkan dan peraturan kewangan sedia ada.
Dalam pada itu, laporan audit berkenaan turut merumuskan bahawa kerajaan tidak dapat menjana hasil yang optimum daripada penjualan barangan rasmi dan tiket.
Justeru, laporan itu mengesyorkan kementerian atau jawatankuasa pengelola antaranya membuat perancangan rapi dengan tadbir urus yang baik dengan mematuhi prinsip perolehan, membuat pemantauan terhadap pelaksanaan pentadbiran kontrak perolehan lebih awal termasuk penyediaan kontrak.
Laporan itu turut mengesyorkan KBS atau Perbadanan Stadium Malaysia memastikan kecekapan dalam penganjuran temasya ditambah baik khususnya berkaitan pengurusan perolehan, penjualan tiket serta pemasaran dan penjualan barangan rasmi.- BERNAMA