KUALA LUMPUR – Selain ibu kota, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui khidmat sosial korporatnya telah membantu golongan tidak bernasib baik di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Kota Bahru.
Program Menyantuni Gelandangan itu adalah inisiatif terbaru TNB yang sebelum ini sudah pun melaksanakan pelbagai program termasuk bantuan kos pendidikan, peralatan persekolahan, pemberian makanan serta menyedia dan membaiki kediaman.
Pada Jumaat lalu, kira-kira 300 gelandangan pelbagai kaum di Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang di sini menerima bantuan berupa pek makanan, barangan kelengkapan seperti botol air, bekas makanan, beg galas, wang saku dan perkhidmatan menggunting rambut.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan isteri, Datin Seri Aidah Abu telah menyempurnakan penyerahan bantuan itu yang menceriakan mereka yang menumpang teduh di pusat tersebut.
Program diatur bersama oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB dan Kelab Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebagai pentadbir Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur untuk operasi pusat tersebut.
Pada majlis itu, TNB turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada YKN.
Kerjasama antara TNB dan YKN telah lama terjalin dengan pelbagai program Tanggungjawab Korporat sebelum ini termasuk Program Better Brighter Anjung Kasih – penginapan sementara untuk ahli keluarga pesakit yang kurang berkemampuan –di Hospital Serdang.
Selain itu, Program Better Brighter Anjung Kasih di Hospital Melaka, sumbangan iftar Ramadan di Anjung Singgah Kuala Lumpur dan sumbangan mesin hemodialisis di YKN Lembah Pantai oleh Pelitawanis TNB.- MalaysiaGazette