Home Ekonomi Jualan Proton melonjak 100% pada bulan November

Jualan Proton melonjak 100% pada bulan November

Proton Saga rekod jualan terbaik untuk segmen sedan A.

KUALA LUMPUR – Pengeluar kereta nasional, Proton, mencatatkan satu lagi prestasi kukuh pada November apabila jualan tahun ke tahunnya meningkat sebanyak 100 peratus dengan 9,643 unit terjual.

Proton Holdings Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, kuantiti terkumpul bagi tahun ini berjumlah 89,476 unit, yang merupakan pertumbuhan 50.1 peratus tahun ke tahun manakala bahagian pasaran juga berkembang dan dianggarkan kini berada pada 16.2 peratus bagi keseluruhan 2019.

Model Proton Saga mencatatkan jualan bulan ketiga berturut-turut melepasi paras 4,000 unit apabila sebanyak 4,091 kereta diserahkan pada November.

Ia membolehkan model terbaharu Proton ini menduduki senarai teratas dalam jualan sedan segmen A dengan 34,422 unit terjual setakat ini bagi 2019.

Pertumbuhan kuantitinya kini berada di tahap memberangsangkan pada 32 peratus, yang mana setakat ini merupakan yang terbaik bagi mana-mana model dalam segmen tersebut.

“Cabaran kami adalah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi Saga dan kami mengadakan perbincangan menyeluruh dengan vendor kami untuk berusaha meningkatkan kuantiti tahun depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong.

Sementara itu, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton, Proton X70, juga tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Proton X70 akan meraikan ulang tahun pertamanya pada 12 Dis ini.

“Proton X70 adalah kejayaan terbesar kami bagi 2019. Ia membolehkan Proton memasuki segmen baharu dengan tanpa sebarang pengalaman pasaran dan setahun kemudiannya, ia muncul sebagai peneraju jualan yang tidak boleh dipertikaikan lagi,” kata Li, sambil menambah jualan Proton X70 telah meningkat dengan 2,000 unit terjual pada November.

“Peningkatan itu membuktikan bahawa pelanggan masih lagi berminat dengan SUV pintar itu dan kami menyasar meningkatkan minat tersebut pada tahun depan,” katanya.

Memandangkan pengembangan kilang baharu di Tanjung Malim semakin hampir memulakan aktiviti pengeluaran, jurutera Proton, katanya, bertekad untuk menghasilkan produk yang kualitinya menyaingi atau malahan lebih baik lagi daripada kenderaan yang dihasilkan oleh anggota lain daripada kumpulan jenama automotif Geely Auto. – MalaysiaGazette