Home Utama Lantik Anwar Menteri Khas cuma pendapat peribadi Kadir – PM

Lantik Anwar Menteri Khas cuma pendapat peribadi Kadir – PM

Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 03 DECEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan sesiapa sahaja boleh memberikan cadangan kepada beliau mengenai apa-apa perubahan dalam pentadbirannya.

Bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak semua cadangan yang diberikan oleh mana-mana individu akan diterimanya bulat-bulat.

“Saya dengar semua orang punya cadangan, tak semua kita setuju. Banyak idea dan nak rombak kabinet tapi ini adalah kebebasan bersuara.

“Boleh tanya apa yang kamu nak, tapi samada saya respon atau tidak itu adalah pada diri saya sendiri,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai cadangan Penasihat Media dan Komunikasinya, Datuk A.Kadir Jasin yang mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kabinet sebagai Menteri Tugas Khas, Mahathir berkata; “Itu pendapat dia, Malaysia kita bebas bersuara siapa pun boleh buat apa-apa cadangan”.

Semalam, Kadir berkata, sudah tiba masanya untuk Mahathir menyemak kembali peranan Anwar dengan memberikan kedudukan dalam kabinet.

Kadir berkata demikian melihat kepada kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November lalu.

Dalam pada itu, Mahathir enggan menjawab mengenai perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang, Ahad lalu.

Menurutnya, beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perjumpaan tersebut.

“Saya pun tidak tahu apa yang mereka adakan perjumpaan, saya baca surat khabar sahaja kerana saya baru balik dari Korea. Tanya pasal Korea Selatan, saya boleh jawab,” selorohnya.

Baru-baru ini, lebih 300 individu terdiri daripada bekas anggota PKM hadir satu perhimpunan di Kajang.

Ia dipercayai bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989. – MalaysiaGazette