Home Nasional Pembangkang sambut baik keputusan tangguh RUU IPCMC

Pembangkang sambut baik keputusan tangguh RUU IPCMC

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama blok pembangkang bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 03 DECEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli parlimen pembangkang hari ini menyambut baik penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangkang sebelum ini menerusi Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar jelas menentant RUU itu dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Rekod boleh dibaca dalam laporan menunjukkan sangat jelas wakil kita menentang RUU ini. Kita berharap kerajaan bukan setakat menangguhkan tapi membatalkan terus cadangan IPCMC.

“Banyak instrumen lain boleh digunakan untuk memantau anggota polis,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Seramai 26 ahli parlimen pembangkang hari ini mengadakan sidang media bagi menyambut baik langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU berkenaan.

Perkara itu diberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew View Keong di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu ditangguh sehingga sesi sidang Dewan Rakyat bermula semula pada Mac tahun depan. -MalaysiaGazette