CYBERJAYA— Selaku penganjur Kerjasama Ekonomi Asia-Pasific (APEC 2020), Malaysia akan memberi fokus istimewa kepada mengoptimumkam ekonomi digital dan teknologi bagi memperkasakan wanita, selain pembangunan belia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, fokus ini diharapkan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, di samping memastikan kesejahteraan setiap rakyat.
Bertemakan Mengoptimumkan Potensi Insan Ke arah Kemakmuran Bersama Pada Masa Hadapan, agenda APEC 2020 berpaksikan kepada tiga tonggak penting iaitu Menambah Baik Naratif Perdagangan dan Pelaburan, Penyertaan Ekonomi Inkusif Menerusi Ekonomi Digital dan Teknologi serta Memacu Inovatif Lestari.
“Fokus juga diberikan kepada pembangunan belia, populasi yang semakin meningkat tua dan mencipta persekitaran kondusif kepada usahawan, start-up dan perusahaan sosial,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan sempena pelancaran APEC 2020 di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tambah Darell, Malaysia akan mengetuai 21 ekonomi APEC untuk merangka pelan masa hadapan kumpulan tersebut selepas tahun 2020.
“Selain senarai panjang agenda yang telah dirancang untuk APEC 2020, tahun 2020 juga merupakan pengakhiran kepada Sasaran Bogor.
“Ini bermakna Malaysia telah diamanahkan dengan tugas besar untuk menerajui 21 ekonomi APEC untuk merangka masa depan kumpulan selepas 2020.
“Malaysia dengan berbesar hati menerima tanggung jawab tersebut dan akan memainkan peranan besar sebagai pemimpin dengan sedaya-upaya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette